Festival Pencak Silat Dunia tarik enam negara baharu

Festival Pencak Silat Dunia tarik enam negara baharu

AB. RAUF Yusoh mengadakan sidang akhbar berkenaan Kejuaraan Pencak Silat Dunia Edisi Ke-19 di Tangga Batu, Melaka. - FOTO/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kejuaraan Pencak Silat Dunia Edisi Ke-19 terus menarik perhatian apabila enam lagi negara mengesahkan penyertaan pada kejohanan yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini dari 21 hingga 31 Julai ini.

Pengerusi Bersama Kejohanan, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, dengan penyertaan terbaharu itu ia menjadikan keseluruhan sebanyak 40 negara akan memeriahkan festival yang berlangsung selama 10 hari berkenaan.

Menurutnya, tiga daripada negara baharu itu ialah Suriname, Amerika Syarikat (AS) dan Mesir.

“Melaka sudah bersedia menerima kedatangan lebih 1,500 peserta yang akan menyertai festival julung-julung kali pernah diadakan di negeri ini.

“Bersempena festival tersebut turut diadakan ialah Kejohanan Silat Dunia iaitu acara silat terbesar yang menampilkan pesilat antarabangsa bagi merebut gelaran juara dunia. Persiapan setakat ini berjalan lancar dengan segala persiapan rapi telah dibuat di MITC bagi memastikan penganjuran terbaik,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini semalam.

Festival tersebut adalah anjuran bersama kerajaan negeri dan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka).

Ab. Rauf berkata, turut diadakan forum dan dialog berhubung usaha untuk mempertingkatkan lagi sukan tersebut di persada dunia.

Antara negara yang akan mengambil bahagian pada festival tersebut adalah Uzbekistan, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, India, Pakistan dan Kazakhstan.

“Festival berkenaan sepatutnya diadakan pada 2020 dengan Sarawak sebagai lokasi penganjuran, sebelum ditunda berikutan pandemik Covid-19,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN