Faktor giliran punca tertarik haji furada

Faktor giliran punca tertarik haji furada

Ida Riswana Idris
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Giliran menunggu menunaikan haji melalui Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang terlalu lama dan tidak munasabah dari segi usia adalah antara punca utama umat Islam negara ini tertarik mendapatkan visa furada sebagai alternatif menunaikan rukun Islam kelima itu.

Selain itu, Pengarah dan Penasihat Undang-undang Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Ida Riswana Idris berkata, terdapat segelintir umat Islam yang kekurangan maklumat tentang visa haji furada dan risiko yang ditanggung.

Katanya, Andalusia tidak langsung menganjurkan visa furada kerana dari sudut perundangannya, kontrak visa furada adalah voidable sebab visa furada tidak pasti dan tiada dalam kawalan agensi mahupun pihak kerajaan baik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) atau Tabung Haji.

“Semuanya sangat bergantung kepada untung nasib penganjur visa furada dan tiada jaminan untuk dapat visa,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.
.
Beliau mengulas insiden 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan, bakal jemaah haji yang terkandas itu dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui TH.

Visa furada adalah visa yang diuruskan sendiri dan dilapor dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh menerusi Tabung Haji.

Pada 23 Jun lalu, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman memberitahu, sehingga kini, Arab Saudi tidak memaklumkan mengenai pengeluaran visa furada musim haji 1443H/2022M dan mereka yang telah membuat pembayaran perlu lebih berhati-hati.

Beliau menegaskan, Tabung Haji sering mengingatkan risiko haji furada, apatah lagi dengan senario musim haji tahun ini yang menyaksikan pelbagai syarat ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Sehubungan itu, kata Ida Riswana, Andalusia akan melancarkan kempen #ElakkanScamUmrahHaji sebagai satu usaha membantu orang ramai dengan informasi bagi mengelakkan mereka terjerumus dalam kes penipuan haji dan umrah.

Katanya, kes penipuan furada ini berlaku akibat kelemahan pilihan jemaah itu sendiri walaupun MOTAC dan Tabung Haji telah berkali-kali menasihatkan dan menguar-uarkan tentang bahaya memilih pakej haji furada.

Bagaimanapun, katanya, masih ramai yang mengejarnya kerana percaya kepada penganjur dan agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji furada.

“Namun, tidak ada jaminan kerana visa haji ini adalah bergantung kepada budi bicara Kedutaan Arab Saudi dan di luar dari bidang kuasa agensi pelancongan,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN