PERMATANG PAUH: Jenazah empat beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 277.1, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan, petang semalam dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 3 pagi ini.
Pasangan suami isteri, Rahim Ramli, 60 dan Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak mereka Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Masjid Permatang Pasir dekat sini.
Van yang membawa jenazah empat beranak itu tiba di pekarangan Masjid Permatang Pasir kira-kira pukul 1.30 pagi selepas selesai menjalani proses bedah-siasat di Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak.
Sementara itu, satu-satunya anak lelaki keluarga berkenaan, Muhamad Hazman yang pada mulanya kelihatan dapat mengawal emosi bagaimanapun gagal menahan kesedihan ketika jenazah semua ahli keluarganya yang terkorban itu dibawa masuk satu-persatu ke dalam masjid untuk diberikan penghormatan terakhir.
Dalam pada itu, seorang lagi anak mangsa, Nor Fatini yang sejak awal masih bersedih dilihat sesekali menyeka air matanya sambil ditemani oleh seorang saudara mereka yang lain.
Suasana hiba turut mewarnai kawasan tanah perkuburan yang terletak bersebelahan masjid tersebut apabila ramai saudara, kenalan serta penduduk setempat turut meluangkan masa menghadiri upacara pengebumian berkenaan. – UTUSAN