BUKIT GANTANG: Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pimpinan Pas tidak akan dibubarkan walaupun jika berlakunya pembubaran Parlimen untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, tiga buah negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah tidak akan membubarkan meskipun kerajaan Pusat membubarkan Parlimen.
“Pas akan memerintah negeri-negeri tersebut sehingga habis penggal,” katanya kepada pemberita pada program Jualan Bantu Rakyat di Kampung Sungai Petai di sini hari ini.
Menurut Idris, setakat ini tiada perbincangan di Kabinet tentang tarikh pembubaran Parlimen.
“Kabinet tidak pernah menyebut tentang PRU15 atau pun menyatakan ada tarikh tertentu untuk Parlimen dibubarkan.
“Kita harus ingat kuasa untuk membubarkan Parlimen ini terletak di tangan Perdana Menteri yang mana beliau boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk meminta perkenan Seri Paduka bagi melakukan pembubaran Parlimen,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Idris berkata, Pas telah bersiap sepenuhnya sekiranya PRU15 diadakan pada masa terdekat.
Menurutnya, beliau telah bertemu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang bersama-sama mengadakan lawatan di Perlis dan juga Kedah untuk melihat gerak kerja bagi persiapan menghadapi PRU15.
“Di Perak juga kita telah melihat persediaan gerak kerja jentera Pas dan ini bermakna negeri di zon utara, jentera Pas sudah pun bersiap sedia sepenuhnya.
“Ini bermakna jentera Pas di seluruh negara telahpun meningkatkan gerak kerja mereka dan kita hanya menanti tiupan wisel di peringkat Pusat untuk masuk ke dalam gelanggang PRU15 sekiranya benar akan berlakunya pembubaran pada masa yang terdekat,” katanya. – UTUSAN