Duit pembedahan suami lesap ditipu lelaki mendakwa pegawai Koo Ham - Utusan Malaysia

Duit pembedahan suami lesap ditipu lelaki mendakwa pegawai Koo Ham

SURI rumah (kanan) bersama Teoh Yee Chern (tengah) dan G Thinagaran menunjukkan laporan polis pada sidang akhbar di Pusat Khidmat ADUN Astaka dan Parlimen Beruas di Sitiawan hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang suri rumah mengalami kerugian apabila sebahagian wang yang mahu digunakan untuk membiayai pembedahan suaminya lesap selepas diserahkan kepada seorang lelaki mengaku sebagai ‘pegawai khas’ Ahli Parlimen Beruas, tengah hari semalam.

Wanita berusia 28 tahun itu memberitahu, kira-kira pukul 11.30 pagi, seorang lelaki menaiki kereta BMW hitam datang ke rumahnya di Sitiawan, ingin melihat keadaan suaminya yang terlantar kerana terdapat ketumbuhan dalam kepala.

“Lelaki yang mengaku sebagai pegawai khas kepada Datuk Ngeh Koo Ham memberitahu suami akan menerima cek bantuan RM15,000 tetapi kerani tersilap tulis RM23,000 pada cek tersebut, jadi dia meminta saya membuat pulangan duit berjumlah RM8,000.

“Saya kemudian pergi ke Public Bank Sitiawan dengan suspek pada pukul 12.19 tengah hari dan membuat pindahan wang melalui kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berjumlah RM3,500 ke akaun Bank Hong Leong atas nama Lee Hee Lang, dan mengeluarkan wang tunai RM4,500 dan serahkan kepadanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka dan Parlimen Beruas di Kampung Koh, Sitiawan hari ini.

Yang turut hadir, ADUN Astaka, Teoh Yee Chern dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Beruas Bagi Hal Ehwal Orang India, G Thinagaran.

Menurut suri rumah itu, lelaki itu kemudian meminta beliau pergi ke pusat khidmat tersebut untuk mengambil cek tersebut tetapi mendapati ia ditutup.

Selepas menunggu hampir dua jam, beliau kemudian menghubungi Thinagaran dan memberitahu perkara tersebut sebelum menyedari telah ditipu selepas dimaklumkan suspek bukan pegawai khas wakil rakyat tersebut.

Beliau sedih dan merasa sakit hati kerana wang tersebut juga sebahagian sumbangan orang ramai bagi membiayai pembedahan suaminya yang dianggarkan melibatkan kos lebih RM50,000 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam tempoh terdekat.

Suri rumah itu percaya kemungkinan lelaki itu memperoleh maklumat mengenai beliau dan suaminya yang berusia 29 tahun melalui media sosial kerana dia sebelum ini ada memuat naik beberapa video yang memaparkan laporan perubatan suami, nombor telefon dan nombor akaun bank, bagi meminta bantuan membiayai pembedahan itu.

Beliau juga ada menghubungi termasuk menggunakan WhatsApp terhadap lelaki itu yang dianggarkan berusia 40-an dan mempunyai tanda parut di bawah mata kiri, tetapi tidak mendapat maklum balas positif sebelum membuat laporan polis kira-kira pukul 4 petang semalam.

Sementara itu, Yee Chern berharap polis dapat segera menangkap suspek kerana kelibat suspek boleh dilihat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Public Bank Sitiawan selain mangsa juga dapat mengecam iras muka walaupun suspek memakai pelitup muka, manakala pegawai penyiasat juga memaklumkan nombor plat BMW dipandu suspek adalah palsu.

Beliau menjelaskan, Koo Ham kini berada di ibu negara membuat persiapan bagi sidang Parlimen dan mereka berdua mengecam penipuan dan akan berbincang bagaimana mahu membantu suri rumah tersebut membiayai pembedahan suaminya.

“Suri rumah ini pernah datang ke pejabat pusat khidmat ini untuk meminta bantuan bagi penyakit suaminya dan kami pernah mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500 sebulan,” jelasnya.

Yee Chern memberitahu, beliau dan Koo Ham tidak akan membuat laporan polis kerana mereka menjangka turut dipanggil polis bagi membantu siasatan kes tersebut, justeru satu laporan polis sudah memadai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN