Dua warga emas ditipu pelaburan tidak wujud hampir RM1.34 juta - Utusan Malaysia

Dua warga emas ditipu pelaburan tidak wujud hampir RM1.34 juta

WONG Lum Yoke (kiri) dan Kang Eng Thye (kanan) yang ditipu skim pelaburan tidak wujud bersama Ooi Teik Liang dalam sidang akhbar di Pejabat MCA, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Dua warga emas mendakwa kerugian hampir RM1.34 juta selepas ditipu dua individu dipercayai ahli sindiket pelaburan tidak wujud yang berpangkalan di luar negara.

Wong Lum Yoke, 76, kerugian hampir RM570,000 selepas ditipu seorang wanita berusia 50-an bermula 2019 hingga 2021 manakala Kang Eng Thye, 58, pula rugi  RM770,000 gara-gara ditipu seorang lelaki berusia 60-an bermula 2016 hingga 2021.

Kedua-dua individu berkenaan didakwa merupakan ahli sindiket yang menawarkan bon pelaburan daripada kerajaan China yang menjanjikan pulangan 10 kali ganda dalam mata wang dolar Amerika Syarikat kepada pelabur.

Difahamkan, lebih 40 pelabur di Pulau Pinang menjadi mangsa dua individu berkenaan yang kini didakwa menghilangkan diri ke Kuala Lumpur.

Menurut Lum Yoke, dia membuat laporan polis pada Ogos tahun lalu selepas mendapati tiada wang pulangan pelaburan yang dijanjikan oleh wanita yang dikenali sebagai Datin Neoh itu setelah melakukan lebih 10 kali transaksi wang ke akaun wanita berkenaan.

”Saya turut menggadaikan barang kemas untuk melabur di dalam skim pelaburan bon kerajaan China itu ketika berjumpa dengan wanita terbabit pada 2019.

”Saya memerlukan wang segera kerana mahu mengubati suami yang menghidap kanser, namun akhirnya suami saya meninggal dunia pada Januari 2020 dan wang yang saya laburkan pula lesap bersama wanita terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MCA di sini hari ini.

Lum Yoke yang juga seorang pesara kerajaan berkata, Datin Neoh akan mengadakan perjumpaan dengan beberapa lagi pelabur lain di lokasi terbuka dan akan berhubung dengan seorang lagi pakar pelaburan yang berada di luar negara.

”Ketika itu kami akan diminta menambah pelaburan dan dijanjikan dengan pulangan berganda, namun sehingga kini tiada apa yang kami dapat. Saya membuat laporan polis pada Ogos 2021 kerana tidak mahu lebih ramai orang ditipu,” katanya.

Dalam pada itu, Eng Thye yang merupakan bekas guru swasta berkata, wang simpanannya berjumlah RM770,000 lesap dalam tempoh 2016 hingga 2019 selepas terpedaya dengan janji manis pakar pelaburan yang dikenali sebagai Law.

”Saya hanya tahu ditipu oleh sindiket yang sama menipu Lum Yoke selepas memohon bantuan daripada MCA. Saya melakukan lebih 70 transaksi ke dalam akaun Law kerana dia menjanjikan pulangan berganda sekiranya kami memasuki dana pelaburan bon dari kerajaan China itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Pulau Pinang, Ooi Teik Liang berkata, pihaknya akan membantu mangsa-mangsa penipuan sindiket itu dari segi perundangan dan berharap orang ramai lebih berhati-hati dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya