KULIM: Seorang lelaki yang sudah berkahwin menerima ‘hadiah’ hari lahirnya apabila dicekup berkhalwat oleh penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) di sebuah hotel di sini, semalam.
Lelaki berusia 24 tahun itu yang tarikh lahirnya jatuh hari ini ditahan bersama pasangannya, seorang wanita berusia 24 tahun yang masih bujang di dalam bilik hotel terbabit pada pukul 10.15 malam.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, lelaki dipercayai datang dari Bagan Serai, Perak itu mendakwa mempunyai urusan kerja sebelum bertemu dengan wanita berkenaan.
Katanya, pasangan terbabit baru berkenalan pagi semalam melalui aplikasi media sosial sebelum membuat pertemuan di hotel berkenaan kira-kira pukul 8 malam.
“Berdasarkan maklumat diterima, penguat kuasa membuat pemeriksaan di beberapa bilik di hotel berkenaan kerana disyaki berlaku maksiat. Anggota PADK mengetuk pintu bilik terbabit sebelum seorang wanita keluar membuka pintu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Anwar Shariffudin, pihaknya kemudian membuat pemeriksaan lanjut sebelum melihat kelibat seorang lelaki yang sedang bersembunyi di bawah katil untuk mengelak dicekup.
Jelasnya, pemeriksaan mendapati, pasangan itu gagal menunjukkan sebarang dokumen membuktikan mereka mempunyai hubungan pasangan suami isteri atau mahram.
Jelasnya, pasangan terbabit kemudian dibawa ke balai polis untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan.
“Hasil soal siasat lelaki itu datang ke Kulim atas urusan kerja sementara pasangannya menjalankan perniagaan secara dalam talian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Anwar Shariffudin berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan terutama di kawasan hotel yang disyaki menjadi tumpuan pasangan yang tiada ikatan suami isteri atau mahram di daerah itu bagi membanteras kegiatan maksiat. – UTUSAN