SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor digesa mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membincangkan tiga isu besar dihadapi negeri ini iaitu Stadium Shah Alam, pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau dan nyahwarta Hutan Simpan Bukit Cerakah.
Ini kerana ketiga-tiga isu berkenaan melibatkan perbelanjaan yang besar iaitu RM700 juta bagi projek Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dan pembinaan LRA bernilai RM2 bilion.
Setiausaha Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail berkata, perkara yang perlu dibahaskan dan diberi penjelasan adalah mengenai nyahwarta Hutan Simpan Bukit Cerakah seluas 406.22 hektar yang dikeluarkan pada 5 Mei lalu.
“Kami membangkitkan isu kos Stadium Shah Alam kerana kami nampak kerajaan negeri selalu tukar kenyataannya berhubung hal ini. Pada mulanya, mereka kata kos RM787 juta untuk roboh dan bina semula Stadium Shah Alam, kemudian kata kos itu hanya untuk baik pulih pula.
“Lepas itu, tukar lagi kenyataan kata kos ini untuk baik pulih Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA). Yang mana satu yang betulnya dan saya harap diadakan sidang DUN khas bagi membincangkan isu ini,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan aman di luar pekarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, hari ini.
Terdahulu, kumpulan Otai Reformis 1998 mengadakan perhimpunan di situ bagi menyerahkan memorandum kepada Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berhubung isu-isu berkenaan.
Memorandum itu kemudian diterima dan pegawainya, Cheah Jun Ning.
Bagi isu LRA Sungai Rasau pula, Abdul Razak mempersoal berhubung kos pembinaan loji tersebut, yang pada mulanya dianggarkan bernilai RM2 bilion untuk peringkat awal.
Bagaimanapun, pihaknya dimaklumkan bahawa kos keseluruhan LRA itu didakwa bernilai RM6.47 bilion apabila projek loji terbabit siap.
“Kerajaan Persekutuan dianggarkan memperuntukkan RM4 bilion bagi pembinaan LRA Langat 2, jadi apa keperluan untuk bina LRA Sungai Rasau. Tak boleh ke pihak yang mempunyai kepakaran membina sistem perpaipan daripada LRA Langat 2 untuk menyambungkan kepada pengguna yang akan mendapat bekalan air berbanding LRA Sungai Rasau?” soalnya.
Bagi isu nyahwarta pula, Abdul Razak mendakwa, kerajaan negeri telah backdated kelulusan warta Hutan Simpan Bukit Cerakah mengikut tarikh 20 April 2000, iaitu ketika Dr. Khir Toyo sebagai Menteri Besar Selangor.
Beliau hairan dengan tindakan dan mengesyaki kerajaan negeri ingin membuat sesuatu di hutan simpan terbabit. – UTUSAN










