Dapat RM5 solat subuh berjemaah di masjid

Dapat RM5 solat subuh berjemaah di masjid

SEBAHAGIAN kanak-kanak menerima sagu hati RM5 selepas solat Subuh di Masjid Mukim Kampung Wakaf di Pasir Puteh, Kelantan. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Masjid Mukim Kampung Wakaf di sini, memberi sagu hati berbentuk wang tunai sebanyak RM5 kepada golongan kanak-kanak dan remaja yang hadir menunaikan solat subuh secara berjemaah sebelum ke sekolah.

Program Anak Muda Mengimarahkan Masjid yang dicetuskan oleh Saiful Amri Razali, 47, itu berjaya mendekatkan golongan kanak-kanak dan remaja dengan rumah Allah apabila mereka datang seawal pukul 5.15 pagi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Imam Muda Masjid berkenaan, Abdul Ghafar M. Salleh berkata, hebahan berhubung perkara itu dibuat oleh imam semasa membaca khutbah Jumaat, baru-baru ini.

Katanya, situasi itu menghidupkan suasana solat Subuh dengan pertambahan jemaah yang lebih ramai khususnya dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

“Mereka perlu mendaftar kehadiran di pintu utama masjid sebelum mendirikan solat Subuh secara berjemaah. Kebanyakan kanak-kanak dan remaja ini terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Panggong, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Maharaja dan SMK Padang Pak Amat.

“Wang itu diagihkan oleh bilal masjid Hussin Junuh, 64, dan disaksikan sendiri Saiful Amri selaku penyumbang. Untuk makluman, kita tidak menggunakan wang tabungan masjid,” katanya di sini, semalam.

Abdul Ghafar memberitahu, pada Subuh pertama hanya 13 orang yang berjemaah dan jumlah tersebut terus meningkat kepada 24 jemaah dan semalam mencecah 36 orang.

Katanya, kanak-kanak dan remaja yang menerima sagu hati itu turut hadir untuk solat berjemaah pada waktu Magrib dan Isyak sekali gus membuktikan mereka mula jatuh cinta dengan masjid.

“Kita akan mengadakan satu slot tazkirah untuk kumpulan ini pada hujung minggu selepas solat Subuh kerana mereka tidak lagi bergegas untuk ke sekolah,” katanya.

“Saya harap selepas ini lebih ramai pihak akan tampil dan menyokong usaha menarik generasi muda untuk ke masjid,” ujarnya.

Sumbangan orang ramai amat dialu-alukan dan mereka boleh menyalurkan sumbangan ikhlas itu ke akaun Bank Islam Malaysia: 03-090-02-026634-6 (Tabung Masjid Mukim Kg. Wakaf) atau menghubung Saiful di talian 017-2056501 untuk prose rekod. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya