Crackhouse sifatkan keputusan DBKL prejudis, tidak adil

Crackhouse sifatkan keputusan DBKL prejudis, tidak adil

KERATAN laporan Utusan Malaysia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelab Komedi Crackhouse menyifatkan tindakan menyita dan menggantung operasinya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tanpa sebarang notis bertulis sebagai satu keputusan prejudis dan tidak adil.

Crackhouse dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah sanggup dan bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa yang menyiasat tindakan individu berkenaan yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Kami menggesa pihak berkuasa agar menarik semula pergantungan kerana tindakan ini bersifat berat sebelah dan tanpa pertimbangan yang wajar.

“Kami di sini menggesa pihak berkuasa agar bertindak kepada individu tersebut jika dia melanggar sebarang peraturan tanpa menghukum Crackhouse yang tidak terlibat dalam tindakan individu berkenaan dan kami turut terkejut dengan tindakannya,” kata kenyataan itu hari ini.

Sebelum ini DBKL memaklumkan akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Kelab Komedi Crackhouse kerana beroperasi tanpa lesen yang betul dan penggantungan operasi kelab itu sementara menunggu siasatan ke atas lesen premis itu.

Terdahulu, seorang wanita mendakwa dirinya beragama Islam serta sudah menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya di premis berkenaan.

Sementara itu, Crackhouse mendakwa tindakan merakam dan menyiarkan persembahan wanita itu dalam media sosial adalah tanpa pengetahuan dan keizinan mereka sekali gus ia adalah satu tindakan sabotaj.

“Nama baik Crackhouse telah terjejas akibat tindakan individu tersebut yang mempunyai agendanya sendiri. Kelab komedi ini tidak pernah bersekongkol dengan individu terbabit dan pihak pengurusan kelab sama sekali tidak bersetuju dengan tindakannya.

“Semua ruang penganjuran acara komedi mematuhi satu prosedur operasi standard yang memaklumkan mana-mana individu yang ingin tampil di atas pentas termasuk pada malam-malam acara mikrofon terbuka iaitu dua peraturan yang tidak ada tolak ansur sama sekali mengenainya.

“Mana-mana individu yang membuat persembahan tidak dibenarkan menyinggung institusi raja. Mereka juga tidak diizinkan untuk menyinggung mana-mana kepercayaan dan agama. Dua peraturan ini dinyatakan dengan jelas kepada setiap orang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN