PASIR MAS: Polis merampas 2,000 bijil pil yaba selepas menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai buruh dalam serbuan di hadapan sebuah rumah di Kampung Repek, di sini semalam.
Suspek berusia 33 tahun dan mempunyai empat rekod jenayah lampau berkait dadah ditahan menerusi Op Tapis Sempadan pada pukul 1 pagi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, bertindak sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan bersama dua anggota dari Balai Meranti telah melihat seorang lelaki sedang berdiri dalam keadaan mencurigakan berhampiran kereta jenis Perodua MyVi.
Menurutnya, sejurus menahan suspek anggota bertugas telah menjalankan pemeriksaan ke atas Perodua MyVi sambil disaksikan oleh lelaki berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu, anggota bertugas telah menjumpai bungkus plastik merah di bawah tempat duduk pemandu.
“Selepas membuka plastik tersebut, polis mendapati ia mengandungi dadah jenis pil yaba,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, hasil soal siasat suspek mengaku bekalan dadah itu dibeli daripada seorang lelaki Melayu yang tinggi di negara jiran.
Katanya, nilai rampasan pil yaba itu dianggarkan berjumlah RM20,000.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Nasaruddin berkata, pihaknya berjaya menahan dua lelaki dalam serbuan berasingan dan merampas 468 biji pil yaba serta lima biji pil epam di Kampung Padang To’ La di sini dan Putat Tujuh, Rantau Panjang semalam. – UTUSAN