Waspada jangkitan tibi ketika berhari raya

Waspada jangkitan tibi ketika berhari raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudah menjadi tradisi di Aidilfitri, keluarga berkumpul di kampung atau di rumah orang tua selain berkunjung ke rumah saudara mara bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan.

Ruang yang luas selalunya akan tetap menjadi sempit apabila tetamu berkunjung dan memenuhi setiap sudut rumah.

Namun dalam suasana meriah ini, masyarakat juga diingatkan tidak alpa terhadap kesihatan diri, khususnya berkaitan penyakit berjangkit seperti Tuberculosis atau Tibi yang masih wujud dan baru-baru ini mula timbul dalam komuniti kita. Tibi adalah penyakit berjangkit yang merebak melalui udara apabila seseorang yang menghidap Tibi paru-paru aktif batuk, bersin atau bercakap.

Penyakit Tibi berpunca daripada jangkitan bakteria Mycobacterium tuberculosis yang merebak melalui udara apabila pesakit aktif batuk, bersin, atau bercakap. Ia menyerang paru-paru (Tibi pulmonari) dan boleh merebak ke organ lain. Ia merebak lebih mudah dalam ruang tertutup dengan pengudaraan. Risiko jangkitan boleh meningkat apabila berada dalam ruang tertutup atau kawasan sesak untuk tempoh yang lama, terutama jika pengudaraan kurang baik.

Situasi seperti majlis rumah terbuka atau perhimpunan keluarga besar boleh menjadi persekitaran yang memudahkan penularan penyakit sekiranya langkah pencegahan tidak diberi perhatian.

Pensyarah dan Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Respiratori, Fakulti Perubatan dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ng Boon Hau berkata, musim perayaan sering menyaksikan lebih banyak interaksi sosial, sekali gus meningkatkan keperluan untuk masyarakat lebih peka terhadap tanda-tanda awal penyakit.

 

“Ketika musim perayaan, kita akan bertemu ramai orang dalam satu masa. Dalam keadaan ini, jika ada yang mempunyai jangkitan Tibi aktif, penyakit itu boleh merebak melalui udara, terutama jika kita berada dalam ruang tertutup atau pengudaraan tidak begitu baik.

“Sekiranya anda mengalami gejala batuk berpanjangan, ia tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia mungkin petunjuk awal kepada jangkitan Tibi. Ramai menganggap batuk berlarutan hanyalah batuk biasa,” katanya.

Katanya, sekiranya batuk berterusan lebih dari dua minggu, terutamanya jika disertai demam, berpeluh pada waktu malam atau penurunan berat badan tanpa sebab jelas, digalakkan mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Gejala tibi

Gejala paling lazim adalah batuk lebih dari tiga minggu, mengeluarkan kahak berdarah, sakit dada atau sakit ketika bernafas atau batuk. Selain itu, berat badan menyusut walaupun kurang selera makan, merasa terlalu letih, demam dan berpeluh di waktu malam.

Sekiranya gejala ini dibiarkan tanpa rawatan, bakteria boleh menular organ lain seperti buah pinggang dan hati serta tulang dan berisiko tinggi menyebabkan maut.
Justeru, beliau menegaskan kepentingan pemeriksaan awal yang bukan sahaja membantu pesakit mendapatkan rawatan dengan lebih cepat, malah dapat mengurangkan risiko penularan kepada ahli keluarga dan orang sekeliling.

Data kesihatan awam menunjukkan tibi masih menjadi cabaran kesihatan di Malaysia, dengan puluhan ribu kes dilaporkan setiap tahun. Keadaan ini menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap gejala awal dan langkah pencegahan masih sangat penting.

Katanya, langkah pencegahan daripada berlaku jangkitan penyakit tibi sebenarnya tidak rumit dan boleh diamalkan dalam kehidupan seharian, termasuk ketika menghadiri majlis rumah terbuka.

“Perkara asas boleh dilakukan seperti memastikan pengudaraan yang baik, membuka tingkap atau pintu supaya udara dapat bergerak dengan lebih lancar, serta mengamalkan etika batuk yang betul boleh membantu mengurangkan risiko penularan penyakit.

“Individu yang mengalami batuk atau tidak sihat juga digalakkan memakai pelitup muka ketika berada di tempat sesak sebagai langkah melindungi orang lain. Kaedah ini sama seperti diamalkan ketika pandemik Covid-19,” katanya.

Golongan berisiko tinggi seperti warga emas atau yang mempunyai penyakit kronik serta sistem imun lemah juga dinasihatkan lebih berhati-hati apabila menghadiri rumah terbuka yang terlalu sesak dengan orang ramai. Sekiranya tidak sihat, adalah lebih baik untuk menangguhkan kunjungan sehingga keadaan kesihatan pulih sepenuhnya.

Cara mengesan Tibi

Tibi boleh dikesan melalui ujian kahak (Sputum Test) di mana sampel kahak diambil untuk mengesan bakteria Mycobacterium tuberculosis. Selain itu, X-ray dada juga akan dilakukan bagi mengesan kerosakan atau tompokan pada paru-paru yang disebabkan jangkitan tibi.

Ujian Kulit mantoux (Mantoux Test/TST) juga adalah kaedah digunakan untuk mengesan Tibi. Cecair tuberkulin disuntik di bawah kulit lengan untuk melihat tindak balas imun terhadap bakteria TB.

Ujian darah khusus juga dilakukan untuk mengesan jangkitan TB laten atau aktif.

Penyakit Tibi boleh sembuh sepenuhnya jika pesakit mendapatkan rawatan awal dan mematuhi pengambilan ubat antibiotik khas setiap hari tanpa gagal selama sekurang-kurangnya enam bulan.
Rawatan konsisten di bawah pengawasan petugas kesihatan sangat penting untuk membunuh kuman sepenuhnya dan mengelakkan kerintangan ubat.

Pesakit Tibi perlu patuh rawatan

Bagi yang sedang menjalani rawatan Tibi, pematuhan kepada rawatan yang diberikan doktor sangat penting. Walaupun pesakit mungkin berasa lebih sihat selepas beberapa minggu, ubat perlu diambil sehingga tamat tempoh rawatan ditetapkan.

“Ini penting bagi memastikan penyakit sembuh sepenuhnya dan bagi mengelakkan berlakunya rintangan ubat iaitu bakteria, tidak lagi dapat dimusnahkan. Ini menyebabkan jangkitan berlarutan, risiko penyebaran lebih tinggi dan rawatan menjadi tidak berkesan.

“Dalam kemeriahan Aidilfitri, menjaga kesihatan diri dan orang sekeliling adalah tanggungjawab bersama. Kesedaran terhadap gejala tibi serta amalan langkah pencegahan yang mudah membolehkan masyarakat dapat terus meraikan Hari Raya dalam suasana selamat dan sihat,” katanya.

Pesakit juga perlu lebih prihatin ke atas kesihatan orang lain terutama golongan berisiko tinggi mengalami jangkitan seperti warga emas dan kanak-kanak dengan memastikan berhati-hati ketika batuk atau bersin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×