SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor perlu menawarkan dasar alternatif yang lebih baik berbanding Rancangan Selangor Pertama (RS1) dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menunjukkan peluang dan manfaat sebenar dapat diperoleh rakyat di negeri ini.
Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Abdul Muati @Zamri berkata, hal ini perlu dilakukan supaya rakyat Selangor boleh menilai pelan ekonomi yang diperkenal kerajaan negeri dengan pihak pembangkang.
“Baca RS1 untuk buat perbandingan dan keluarkan pelan Rancangan Selangor sendiri, yang munasabah. Baru rakyat Selangor boleh buat perbandingan di antara RS1 dengan ‘Rancangan Selangor Alternatif’.
“Dari situ, boleh mempengaruhi pemikiran rakyat parti mereka hendak undi,” katanya ketika berucap dalam Forum Analisis Politik dan Tadbir Urus Kerajaan Negeri Selangor pada Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Setia Alam (SCCC), di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan kelemahan-kelemahan kerajaan negeri ketika ini yang perlu diambil peluang oleh BN untuk menanganinya sebagai tawaran kepada rakyat pada pilihan raya akan datang seperti isu bekalan air, harga rumah mahal dan kadar beberapa cukai yang tinggi.
Menurut Abdul Muati, justeru BN Selangor perlu memperkasa komunikasi mereka untuk menguar-uarkan tawaran parti itu serta memperbaiki kelemahan-kelemahan lain seperti pemberitahuan maklumat dan pengurusan imej.
“Berapa ramai orang di kawasan luar bandar yang mengetahui Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Selangor tidak meningkat sejak beberapa tahun lalu?
“Sepatutnya, anda perlu menguar-uarkan hal-hal sebegini supaya rakyat Selangor tahu, serta beri idea supaya mereka boleh yakin dengan ahli BN Selangor itu sendiri,” katanya. – UTUSAN