Berpisah kerana kami sudah tak sehaluan – Afdlin Shauki

Berpisah kerana kami sudah tak sehaluan – Afdlin Shauki

Afdlin juga reda dengan perceraian itu dan meng­anggapnya sebagai ketentuan Allah SWT.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki mengakui hala tuju kehidupan tidak sehaluan menjadi punca perceraian dengan isteri, Maria Christina Orow.

Jelas Afdlin, perkara itu, yang mula ketara sejak pandemik melanda memaksa kedua-dua pihak mengambil keputusan untuk berpisah dan membawa haluan masing-masing.

“Dua benda berlaku. Salah satunya, dia, ketika Covid-19 melanda enggan keluar rumah manakala saya perlu keluar untuk mencari rezeki.

“Di situ timbul perbezaan pendapat. Ia dilihat isu kecil, tetapi sangat memberi kesan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Afdlin dan Maria bercerai sejak April lalu, namun, perpisahan mereka diketahui umum selepas Maria memaklumkan tentang perkara tersebut di Instagramnya, Jumaat lalu.

Mengulas tentang sebab me­ngapa beliau sebelum ini merahsiakan perceraian mereka, Afdlin memaklumkan beliau perlu menunggu tempoh edah bekas isterinya tamat sebelum memutuskan untuk berkongsi perkara itu kepada umum.

“Kami tak mahu ada gangguan luar dan dalam tempoh itu, apa-apa boleh berlaku seperti rujuk semula dan sebagainya. Itu adalah tempoh yang pa­ling kritikal. Selesai edah, barulah kami merasakan sesuai untuk berkongsi berita ini kepada umum,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelakon filem Buli itu juga memberitahu bahawa hubungan dia dan Maria masih baik meskipun tidak lagi bergelar suami isteri.

Kata Afdlin, apa yang penting adalah penerimaan anak-anak yang matang dalam berhadapan situasi tersebut.

“Hubungan kami baik, tak bergaduh. Tambahan pula dia masih menjadi rakan perniagaan saya. Saya bersyukur, kerana perceraian ini diterima baik anak-anak. Mereka lega kerana saya dan Maria kekal berkawan baik.

“Objektif kami adalah untuk menjaga anak-anak dengan sepenuh perhatian meskipun kami bukan lagi suami isteri. Kami telah berjanji, akan jaga persahabatan dan tetap ada untuk satu sama lain ketika berdepan masalah,” tambahnya.

Selain itu, Afdlin juga reda dengan perceraian itu dan meng­anggapnya sebagai ketentuan Allah SWT yang perlu di­terima dengan hati terbuka.

“Saya bersyukur kerana Allah permudahkan segala-galanya.

“Semua ini ketentuan. Kami pun tidak tahu apa yang akan berlaku di masa akan datang. Kalau ditakdirkan kami rujuk semula satu hari nanti, saya terima,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN