ALOR SETAR: Semua pihak digesa memberi ruang yang secukupnya kepada jabatan serta agensi kerajaan yang terlibat dalam siasatan tragedi kepala air dan banjir lumpur sebelum membuat rumusan terhadap punca kejadian itu di Kupang, Baling baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau tidak akan memberi sebarang tempoh masa kepada pihak terbabit termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk melakukan tugas mereka.
“Ya, kita bagi masa yang cukuplah kepada jabatan ini. Saya tak tahu (berapa lama), terpulanglah kepada jabatan, free and easy. Kerana kalau kita bagi sebab (punca) apa pun, penduduk tak akan dapat balik kepada kedudukan asal.
“Orang desak saya buat rumusan cepat (untuk) katakan Musang King itu penyebab kepada banjir. Tetapi tak boleh begitu kerana sebagai ketua kerajaan saya kena dengar laporan jabatan dan agensi yang ada kepakaran khusus dalam bidang berkaitan.
“Kalau saya mendahului mereka, tiba-tiba dapatan (hasil siasatan) jabatan dan agensi berlainan, akan flip flop. Kerajaan tak boleh begitu kerana kena guna dapatan agensi dan jabatan kita. Saya tak boleh pakai jabatan netizen punya pandangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Kolaborasi Inisiatif Kulim Smart Parking antara Majlis Perbandaran Kulim dan Heitech Padu Bhd di Wisma Darul Aman, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan penduduk yang terjejas teruk dengan tragedi terbabit khususnya mereka yang tinggal di Kampung Iboi mendesak kerajaan mendedahkan punca sebenar kejadian yang meragut nyawa itu.
Ini kerana, jika bukan kerana faktor projek ladang hutan yang menjalankan tanaman Musang King di puncak Gunung Inas, penduduk tertanya-tanya apa faktor sebenar yang memburukkan keadaan itu.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak mahu terlibat dalam permainan tuduh menuduh ketika diminta mengulas dakwaan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa penanaman durian Musang King di Gunung Inas dibuat seorang lagi bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.
“No komen. Saya tak mahu terlibat dalam blame game. Hangpa (kamu) duk heret saya masuk blame game. I won’t play. Saya tak mahu mencari salah orang. Tak ada faedah apa pun. Mangsa tergolek di sana, kita berkelahi.
“Tak payah berkelahi. Tolonglah selesaikan masalah yang sedang terjadi. Tak ada faedah apa (cari) siapa bersalah. Dah bersalah jadi apa? Adakah orang yang rumah runtuh akan terbina semula rumah dia bila kita jumpa orang yang bersalah (tetapi) kita kena usahakan nasib mereka terbela,” katanya. – UTUSAN










