SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli perlu fokus menyerang musuh dan memperkukuh parti, bukan menyinggung mana-mana pihak termasuk Presiden sendiri.
Menegaskan perkara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kongres Nasional adalah platform untuk membina kesatuan di antara ahli parti, sekali gus kritikan yang dibuat itu tidak kena pada tempatnya.
“Tak perlulah disanggah masa kongres yang semua orang bercakap tentang hal positif, kekuatan parti, kekuatan saf dan kita cari yang belum tentu dipersetujui atau konsensus dari segi survey. Tetapi saya tidak mahu panjangkan isu ini kerana Rafizi, kalau dia tak gunakan forum itu untuk menyinggung sikit-sikit, itu bukan dialah.
“Saya harap mudah-mudahan dalam perbincangan awal, boleh pujuk dia supaya redakan hal ini dan tumpu menyerang musuh dan kuatkan parti. Jadi kalau dia sibuk hal itu, dia tak nampak masalah dalaman, ini kerana masalah dalaman boleh bincang, boleh kritik, boleh canggah, boleh bantah dalam forum dalaman konsensus kepimpinan dalaman.
“Kalau dengar beberapa pimpinan negeri, saya rasa 90 peratus bincang benda yang sama, mesti ada disiplin dan adab,” katanya pada sidang akhbar di bilik media Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Rafizi mengenai isu populariti beliau yang merosot, selain berkaitan gagasan khemah besar.
“Apa yang penting untuk parti dan kepimpinan baharu bukanlah untuk cuba membodek Anwar. Anwar adalah Anwar Ibrahim, dia tidak perlu dibela. Apa yang perlu dilakukan ialah menarik keyakinan rakyat, cuba menang (pilihan raya),” katanya ketika ditemui media.
Mengulas lanjut, Anwar bagaimanapun menjelaskan yang Rafizi bukan pemimpin baharu dalam parti dan beliau tahu akan kemampuannya dalam memimpin parti.
“Saya fikir kita kena lihat aspek positif beliau. Beliau itu bukan petugas baru dalam parti, dia penggerak penting dan di antara tenaga yang banyak membantu saya. Jadi hubungan peribadi saya dengan dia, dengan Wan Azizah lama.
“Dan saya tahu potensi dia, saya tahu kekuatan dan keupayaan dia, dan seperti mana dia tahu saya, saya juga tahu kelemahan dia. Dan di antara lain adalah untuk meredakan suhu dan memastikan persinggungan itu di tempatnya.
“Saya percaya perkara ini akan berlaku sebaik sahaja beliau secara rasmi mengambil alih,” katanya. – UTUSAN