KOTA BHARU: Pasukan Jihad Tangani Inflasi sedia ‘bermandi’ peluh dalam usaha mengawal inflasi sekali gus mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai kadar harga barangan murah.
Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa mengakui terdapat kenaikan harga barang sebagaimana yang dilaporkan pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini.
Menurutnya, kadar kenaikan yang dilaporkan adalah daripada lima hingga enam peratus, malah terdapat peningkatan sehingga tujuh peratus bagi sesetengah barangan.
“Laporan kenaikan kadar inflasi sehingga 3.4 peratus oleh DOSM baru-baru ini merupakan kajian setahun, iaitu daripada Jun 2021 sehingga Jun 2022 dan dibandingkan mengikut bulan.
“Perlu difahami bahawa kenaikan itu berlaku sebelum Pasukan Jihad Tangani Inflasi ditubuhkan dan kita melihat perkara ini sebagai petunjuk bahawa penubuhan pasukan ini sangat relevan,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Lelongan Jualan Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Annuar memberitahu, tugas pasukan itu ketika ini adalah mengawal kenaikan harga barangan agar tidak berlaku kenaikan kadar inflasi sehingga 70 hingga 80 peratus seperti di Turkiye.
Katanya, terdapat negara di mana kadar inflasinya 14 hingga 15 peratus dan Pasukan Jihad Tangani Inflasi perlu berusaha mengawal dan mengekalkannya sebagaimana ketika ini.
“Saya jamin akan ada beberapa tindakan yang lebih drastik tetapi akan diumumkan mengikut masa yang sesuai kerana ia memerlukan penelitian dan perbincangan dengan pihak terbabit.
“Usaha menanganinya tidak cukup sekadar percakapan tetapi perlu juga melihat kepada sistem yang sedang diamalkan,” katanya
Annuar berkata, mesyuarat Pasukan Jihad Tangani Inflasi dua hari lepas telah bersetuju untuk mengadakan satu unit memantau pengeluaran barangan sebagai satu usaha mengawal kadar inflasi.
“Kami mengadakan perbincangan menggunakan rangkaian koperasi bagi pengeluaran atau pembungkusan produk yang sebelum ini dikawal. Contohnya gula yang sebelum ini hanya dua syarikat dibenarkan membungkus untuk pengedaran runcit.
“Sekarang koperasi juga dapat membungkus dan mengedar barang kawalan,” katanya. – UTUSAN