Anggota SPRM pantau rasuah sempadan

Anggota SPRM pantau rasuah sempadan

SEBAHAGIAN ahli panel yang menyertai Dialog Basmi Rasuah Hapus Jenayah Tanggungjawab Bersama' anjuran bersama SPRM Kelantan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia  (MCPF), Dewan Perniagaan Cina Kelantan dan Lions Club di Kota Bharu, Kelantan. UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan mengarahkan anggotanya membuat penyamaran bagi memantau aktiviti rasuah di sempadan Malaysia-Thailand dalam usaha membendung aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi ke negara jiran.

Pengarah SPRM negeri, Rosli Husain berkata, langkah tersebut memudahkan anggotanya ‘memerangkap’ dan menangkap pelaku untuk diheret ke muka pengadilan.

Katanya, SPRM Kelantan turut bekerjasama dengan agensi penguat kuasa yang lain dalam mendapatkan maklumat berkait dengan perlakuan tersebut.

“Hasrat SPRM Kelantan supaya maklumat dapat disalurkan untuk dijadikan sebagai bukti bagi mendakwa pemberi rasuah.

“Kita mengalu-alukan jika penguat kuasa yang disogok rasuah atau mana-mana pihak yang mengetahui wujudnya kegiatan itu supaya membuat laporan kepada SPRM,” katanya selepas menghadiri ‘Dialog Basmi Rasuah Hapus Jenayah Tanggungjawab Bersama’ anjuran bersama SPRM Kelantan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia  (MCPF), Dewan Perniagaan Cina Kelantan dan Lions Club, di sini hari ini. 

Rosli berkata, hal ini bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut.

Katanya, identiti pemberi maklumat akan disembuyikan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2019 (Akta 711).

“Kita jelaskan di sini mereka yang memberi maklumat akan dilindungi sepenuhnya dan ini telah termaktub di bawah akta terbabit,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya