Agong harap UiTM hasilkan ubat, vaksin sendiri

Agong harap UiTM hasilkan ubat, vaksin sendiri

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli menandatangani plak bagi merasmikan Hospital Al-Sultan Abdullah sambil diperhatikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad (kiri) dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Roziah Mohd. Janor dekat kampus Puncak Alam, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencabar pengurusan Hospital Al-Sultan Abdullah menghasilkan kaedah perubatan dan vaksin sendiri supaya dapat dimanfaatkan rakyat di negara ini.

Ketika merasmikan Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) di  UiTM Kampus Puncak Alam dekat sini hari ini, Seri Paduka berharap hospital itu menjadi yang terunggul dari segi perjalanan operasi dan mutu perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

“Supaya nama hospital ini akan lebih terserlah dan memberi kesan baik kepada masyarakat setempat, saya harap banyak impak positif daripada ini dan antaranya ingin mencabar pengurusan supaya menghasilkan perubatan atau vaksin tersendiri untuk menghadapi cabaran akan datang.

“Bukan sekadar kita hanya terkenal dengan perkhidmatan yang ada, tetapi lebih baik menghasilkan perubatan-perubatan yang boleh menaikkan nama kita untuk memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong turut menamakan hospital itu sebagai Hospital Al-Sultan Abdullah pada majlis berkenaan yang turut disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin Abdul Rahman. 

Hospital Al-Sultan Abdullah mula beroperasi pada 5 April tahun lalu menyediakan perkhidmatan  kepada umum secara berperingkat melibatkan perkhidmatan kepakaran seperti perubatan, wanita dan kanak-kanak, pembedahan dan ortopedik serta psikiatri.

Pusat perubatan itu turut dilengkapi dengan 400 katil pesakit serta kemudahan kompleks akademik bagi 750 pelajar lengkap dengan makmal komputer interaktif, kemahiran klinikal dan wad smiluasi.

Titah Al-Sultan Abdullah, Seri Paduka terharu dengan nama baharu hospital dan percaya Sultan Sharafuddin berasa bangga dengan 98 kemudahan serta pakar-pakar yang berada di Hospital Al-Sultan Abdullah.

“Beta juga tertarik dengan klip berkaitan dengan pusat rehab, mungkin beta pun kena datang sini membuat rehab lebih baik dan membuktikan keunggulan hospital ini.

“Sebenarnya, setelah diminta untuk menamakan hospital ini atas nama beta, beta begitu terharu kerana tak sangka Hospital UiTM dicadangkan di Selangor. Beta pun serba salah untuk terima, kerana ini di negeri Selangor. Namun terharu apabila Sultan Sharafuddin seikhlas hati berkenan nama beta dicadangkan,” titah Seri Paduka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya