'Acai' perdaya RM200,000 urus jual lembu termasuk untuk ibadah korban - Utusan Malaysia

‘Acai’ perdaya RM200,000 urus jual lembu termasuk untuk ibadah korban

PENTERNAK dan individu yang membuat laporan polis berhubung penipuan urus niaga lembu di IPD Kerian, Bagan Serai semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Beberapa penternak, individu, pihak masjid dan surau di sini rugi hampir RM200,000 ditipu seorang broker yang menguruskan jual beli lembu dan kerbau termasuk untuk ibadah korban pada Aidiladha baru-baru ini.

Jurucakap kumpulan penternak, Suhairi Abdullah Sani berkata, mereka ditipu orang tengah dikenali dengan nama Acai.

Katanya, mereka menyedari ditipu apabila tidak menerima wang hasil jualan lembu dan kerbau yang mereka berikan kepada lelaki itu.

“Saya rugi lebih RM30,000 apabila tidak menerima hasil jualan setelah memberikan lapan ekor lembu kepada Acai seminggu sebelum AidilAdha. Saya tidak mengambil wang pendahuluan kerana percaya dan mengenalinya.

“Sebelum ini memang tidak ada masalah, sebab itu kami berikan lembu kepadanya tanpa mengambil wang pendahuluan untuk dihantar kepada pembeli yang berurusan dengan Acai,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini semalam.

Menurutnya, dia menyedari menjadi mangsa penipuan Acai setelah menerima beberapa rakaman audio mengenai penipuan lelaki itu yang tular dalam aplikasi WhatsApp berserta gambar individu itu.

Katanya, dia tidak menyangka Acai sanggup bertindak demikian apatah lagi lelaki itu adalah jiran kampung berdekatan selain sudah lama mengenalinya.

“Saya turut difahamkan oleh rakan-rakan bukan hanya saya yang dia tipu tetapi membabitkan beberapa individu dan beberapa buah masjid dan surau di sini turut menjadi mangsa,” katanya.

Seorang penternak lembu, S. Linggeswaran, 45, berkata, dia bersama rakannya, A. Moganarash kerugian lebih RM70,000 apabila ditipu individu yang sama dua tahun lalu.

Katanya, mereka mengusahakan ternakan lembu lebih 10 tahun di kawasan Parit Buntar dan Sungai Bogak dan telah berurusan dengan lelaki itu lebih lima tahun.

Dia mendakwa Acai pernah mencederakan diri sendiri dan mengatakan kecederaan itu akibat dirompak ketika hendak menyerahkan wang jualan lembu sebanyak RM70,000 kepada mereka.

“Tapi pemeriksaan di hospital, doktor mendapati kesan kecederaan yang dialaminya adalah perbuatan yang dilakukannya sendiri. Kita minta dia buat laporan polis kerana dia mendakwa dirompak namun dia merayu untuk menyelesaikannya dengan membayar semula wang yang dikatakan dirompak.

“Namun hingga ke hari ini dia masih tak bayar dengan pelbagai alasan sehinggalah kami menerima audio yang tular mengatakan terdapat ramai individu telah ditipu dalam urusan jual beli lembu korban,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, setakat ini polis menerima lapan laporan terhadap suspek.

“Siasatan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya