fbpx

Abang Viva tamat Kursus Asas Pertahanan Awam

KETUA Bahagian Operasi, Latihan dan Angkatan APM Melaka, Kapt. (PA) Aljibin Suddin (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada kumpulan Azwan Omar (lima dari kiri) pada Majlis Penutup Kursus Asas Pertahanan Awam Siri 2/2022 di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD

MELAKA: Wira banjir, Azwan Omar atau lebih popular dikenali sebagai ‘Abang Viva‘ selesai menjalani Kursus Asas Pertahanan Awam yang berlangsung tiga hari berakhir hari ini di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Ayer Keroh di sini.

Azwan, 30, ketika ditemui pemberita berkata, beliau kini lebih berasa yakin untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa bencana terutamanya melibatkan banjir, jika terlibat dengan kerja-kerja kesukarelaan pada masa akan datang.

Katanya, kemahiran asas seperti bantuan pernafasan (CPR) dan ikatan amat penting ketika menyertai misi menyelamat, bukan sahaja untuk membantu mangsa tragedi namun kepada diri sendiri apabila berdepan detik cemas.

“Sebelum ini tengok orang pengsan pun saya lari, sekarang insya-Allah saya boleh bantu dengan ilmu yang ada semasa menyertai Kursus Asas Pertahanan Awam ini.

“Untuk pengalaman pertama kali sertai kursus APM ini, banyak benda baharu saya pelajari. Saya diajar ikatan simpul mati dengan lebih baik, diajar menjadi lebih berdisiplin yang mana pengalaman ini tidak dapat di tempat lain.

“Sebelum ini saya memang tidak tahu apa-apa, pergi misi bantuan banjir pun secara solo tanpa pengalaman semua. Tapi dengan kursus ini stamina kita semakin bertambah,” katanya selepas Majlis Penutup Kursus Asas Pertahanan Awam Siri 2/2022.

Kursus tersebut disertai 42 peserta terdiri daripada guru, pelajar tingkatan enam dan orang awam.

Pada Disember 2021, kisah Abang Viva tular dan mendapat perhatian dalam media sosial sehingga ramai yang ingin memberi dan menawarkannya hadiah, memandangkan jasa yang ditumpahkan kepada mangsa-mangsa banjir.

Paling mencuri perhatian, apabila beliau yang menggunakan kereta Perodua Viva membawa sebuat bot getah di atas bumbung serta enjin bot lapan kuasa kuda jenis Mercury.

Beliau dilaporkan hanya berbekalkan wang tunai sebanyak RM50 iaitu RM20 digunakan untuk mengisi minyak kereta manakala RM30 lagi bagi membeli makanan buat mengalas perut. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN