SHAH ALAM: Selangor membelanjakan hampir RM4 juta bagi menyelenggara 79 kemudahan sukan di seluruh negeri dan sebahagian besar peruntukan tersebut berjumlah RM2 juta digunakan pada dua tahun lalu.
Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan negeri, Mohd. Khairuddin Othman berkata, pada 2020 kerajaan negeri menyelenggara sebanyak 42 kemudahan sukan di seluruh negeri.
“Bagi 2021 pula, sebanyak 29 kemudahan diselenggara dengan perbelanjaan sebanyak RM1,512,852.69. Bagi tahun ini pula, sehingga Jun sebanyak lapan kemudahan sukan diselenggara dengan perbelanjaan sebanyak RM375,265.00.
“Di samping itu, terdapat permohonan yang masih dalam proses penilaian Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS),” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr. Daroyah Alwi dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
ADUN Paya Jaras itu menambah, kerajaan negeri menyifatkan cadangan Daroyah berkenaan pembinaan dataran belia di Sementa adalah relevan untuk dilaksanakan di beberapa kawasan strategik.
“Iaitu kawasan lapang yang telah direzabkan seperti Kompleks Belia Sementa, kawasan lapang Klang Perdana dan Kawasan lapang Sungai Kapar Indah,” katanya.
Terdahulu Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM64 juta sejak 2008 hingga 2020 bagi membaik pulih dan menaik taraf Stadium Shah Alam dan beberapa komponen lain di Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).
Berdasarkan jumlah tersebut, sebanyak RM5 juta hingga RM6 juta dibelanjakan setiap tahun sehingga 2018 bagi tujuan tersebut ketika pengurusannya diambil alih oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Syarikat Pengurusan Fasiliti Darul Ehsan Sdn. Bhd. (DEFM).
Selain itu pada 2015 hingga 2017, sebanyak RM11.745 juta dibelanjakan bagi menaik taraf kemudahan tandas, bilik korporat VIP dan VVIP, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), baiki bumbung stadium serta lampu limpah padang.
Kemudian sebanyak RM2.22 hingga RM5 juta lagi dibelanjakan bagi baik pulih beberapa kemudahan seperti mengecat pagar stadium, pembersihan beam dan naik taraf tandas serta bumbung. – UTUSAN