ARAU: Kaji selidik Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pelajaran.
Walaupun data tersebut adalah dari tahun 2019 tetapi trend tersebut dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021. Mengikut data kajian tahun 2019, membabitkan 560,000 calon SPM yang mengambil peperiksaan namun selepas keputusan , hanya kira-kira 170,000 memilih menyambung pengajian manakala bakinya 390,000 telah memasuki pasaran kerja.
Tiga faktor utama mereka yang berusia 17 hingga 18 tahun tidak minat menyambung pelajaran ialah banyak peluang pekerjaan menerusi platform gig, terpengaruh menjadi pempengaruh di media sosial dan beranggapan belajar tinggi bukan jaminan mendapat pekerjaan lebih baik.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Pusat Keusahawanan, Jaringan Industri dan Masyarakat (CEICnet) Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Shafriza Nisha Basah berkata, analisis kajian itu membimbangkan dan beliau yakin trend itu sama bagi tahun ini dan tahun lalu.
Katanya, perkembangan itu membimbangkan kerana ia memberi kesan kepada masa depan golongan tersebut dan negara secara keseluruhannya.
Kata beliau, pada masa ini, banyak pekerjaan baharu yang ditawarkan melalui platform gig seperti perkhidmatan e-hailing, penghantar makanan melalui pelbagai aplikasi dalam talian dan kerja-kerja sambilan lain.
Katanya, perkembangan tersebut sekali gus membolehkan lepasan SPM tersebut terus bekerja sehingga tidak minat lagi meneruskan pelajaran.
Shafriza berkata, pekerjaan menerusi ekonomi gig tersebut jika dibuat secara berterusan mampu memberikan pendapatan setanding dengan pekerjaan yang memerlukan kelayakan akademik lebih tinggi.
“Namun begitu, untuk jangka panjang prospek kerjaya seperti itu sukar dipertahankan kerana tenaga kerja baharu yang sentiasa tersedia,” katanya.
Terikut-ikut
Menurut beliau, faktor kedua kebanyakan remaja kini terikut-ikut untuk menjadi penyedia kandungan (content provider) atau pempengaruh media sosial (influencer) yang disangka mampu memberi kemewahan segara.
“Golongan tersebut beranggapan perkara ini boleh dicapai dengan mudah namun hakikatnya tidak begitu kerana yang mencapai kemewahan melalui cara tersebut biasanya amat kecil berbanding keseluruhan pengguna media sosial,” katanya.
Selain itu, kata beliau, kesukaran mendapat pekerjaan selepas habis belajar juga menjadi salah satu faktor ramai lepasan SPM kini memilih untuk tidak sambung belajar.
Katanya, selain pencapaian akademik dan kemahiran pelajar ataupun graduan, pihak majikan juga menitikberatkan aspek-aspek keupayaan sahsiah yang tinggi.
“Tidak dinafikan proses pencarian pekerjaan selepas belajar adalah sesuatu yang mencabar. Selain itu jenis pekerjaan yang ditawarkan, banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan oleh pelajar dan juga bakal majikan.
“Sebagai contoh, selain jenis pekerjaan dan pendapatan, faktor lokasi tempat kerja, pengangkutan, prospek kerjaya dan lain-lain juga diambil kira. Justeru, pelajar dinasihatkan sentiasa berusaha dan tidak berputus asa kerana proses mendapatkan kerja sesuai kadangkala mengambil masa,” katanya.
Beliau menasihatkan lepasan SPM supaya menyambung pelajaran bagi meningkatkan tahap kelayakan akademik dan kemahiran supaya mereka boleh memohon serta mendapatkan pekerjaan dalam industri yang lebih fokus menggunakan akal dan kemahiran.
Sahsiah
Katanya, pelajar juga perlu meningkatkan keupayaan sahsiah seperti kepimpinan, integriti, kebolehsuaian, profesional, keyakinan diri dan bertanggungjawab.
“Keupayaan sahsiah ini dilihat sama pentingnya dengan kelayakan akademik oleh bakal majikan. Selain itu sebagai umat Islam, kita adalah dituntut untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam apa jua bidang tidak kira fardu ain atau fardu kifayah,” katanya.
Sementara itu, Dekan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, pendidikan sangat penting untuk menjamin masa depan yang lebih cerah dan remaja wajar menyambung pelajaran.
Menurut beliau, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) termasuk ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan memberi sokongan serta galakan berterusan kepada lepasan SPM untuk menyambung pelajaran.
“Meskipun ada (lepasan SPM) yang mungkin lebih selesa untuk terus bekerja dengan peluang mendapatkan pekerjaan khususnya dalam perkhidmatan e-hailing, namun ia tidak mampu menjanjikan masa depan yang lebih baik.
“Apabila kita mempunyai pendidikan, kita akan lebih positif dan Insya-Allah ia mampu membantu kita dalam mendepani kehidupan,” katanya.- UTUSAN










