BALING: Polis menerima sebanyak 627 laporan kerosakan daripada mangsa tragedi kepala air dan banjir lumpur membabitkan rumah dan premis lain di 12 buah kampung yang terjejas bencana itu di Kupang, di sini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, laporan tersebut diterima sejak hari pertama kejadian termasuk di empat kaunter yang dibuka di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai bagi memudahkan mangsa.
“Laporan itu diterima setakat hari ini yang turut melibatkan 15 buah rumah yang lenyap terus akibat dihanyutkan banjir serta 18 kediaman lagi yang rosak teruk akibat bencana itu,” katanya selepas mengiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di kawasan bencana, hari ini.
Kejadian pada petang Isnin lalu itu turut mengorbankan tiga sekeluarga yang ditemukan pasukan penyelamat di bawah timbunan pokok yang hanyut setelah mereka tidak sempat menyelamatkan diri.
Sementara itu, Wan Hassan mengingatkan mana-mana pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menyampaikan bantuan untuk berdaftar dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) terlebih dahulu bagi memudahkan penyelarasan.
“Kini adalah pasca kejadian untuk proses pembersihan dan bantuan yang banyak diterima daripada pihak-pihak berwajib serta swasta. Kita mengalu-alukan bantuan-bantuan daripada semua tetapi perlu melalui PKOB.
“Ini bagi memastikan pengagihan bantuan-bantuan ini dapat diserahkan secara teratur. Namun setakat ini tiada kes yang tidak berdaftar dengan PKOB, semua mematuhi arahan yang dikeluarkan,” katanya.
Beliau mengingatkan, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan sekiranya mana-mana pihak ingkar dengan arahan itu untuk bergerak sendiri mengagihkan bantuan mereka. – UTUSAN










