5,000 unit rumah berharga RM80,000 dibangunkan di MVV 2.0

5,000 unit rumah berharga RM80,000 dibangunkan di MVV 2.0

MOHAMAD Rafie Ab. Malek (enam dari kanan) dan Lee Chi Loon (lima dari kiri) pada acara simbolik Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik di Mantin, Seremban hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 5,000 unit rumah mampu milik berharga RM80,000 akan dibangunkan di kawasan seluas lebih 1,000 hektar yang terletak di Lembah Wawasan Malaysia (MVV 2.0).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek berkata, kesemua unit rumah tersebut merupakan sebahagian daripada 25,000 unit rumah yang akan dibangunkan di kawasan berkenaan.

“Hasrat kerajaan negeri melalui Perbadanan NS adalah untuk membangunkan lebih banyak perumahan baharu di kawasan Parcel B, Smart County MVV 2.0 seluas lebih kurang sekitar 2,500 ekar. 

“Dianggarkan sebanyak 25,000 unit rumah akan dibina membabitkan 12,500 unit rumah mampu milik mengikut kategori berdasarkan Dasar Perumahan Negeri Sembilan iaitu 20 peratus jenis rumah jenis A, 15 peratus jenis rumah jenis B dan 15 peratus jenis rumah jenis C. 

“Paling penting ini bakal mewujudkan sekitar 5,000 unit rumah mampu milik jenis jenis A bernilai RM80,000,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik di Mantin di sini hari ini.

Mohamad Rafie yang juga Pengerusi Perbadanan NS menjelaskan, pembinaan rumah-rumah tersebut akan dilakukan dengan segera yang sekali gus akan membantu lebih ramai anggota masyarakat terutama generasi muda untuk memiliki rumah pertama mereka.

Sementara itu, beliau berkata, projek rumah mampu milik di Mantin berkenaan merupakan usaha sama di antara Perbadanan NS dan pemaju swasta Multiplex Development Sdn. Bhd. di atas tanah seluas lebih 24 hektar milik Perbadanan NS.

“Projek ini dianggarkan mempunyai jumlah Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM220 juta. Pelaksanaan projek dijangka akan bermula pada hujung dan dijangka siap menjelang tahun 2026.

Komposisi pembangunan adalah terdiri daripada anggaran 800 unit rumah mampu milik yang turut dilengkapi pelbagai kemudahan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Multiplex Development, Datuk Lee Chi Loon, berkata, daripada 800 unit rumah mampu milik itu, sebanyak 160 unit rumah jenis A ditawarkan pada harga RM80,000.

“Berdasarkan keadaan semasa, harga rumah semakin meningkat ditambah dengan kedudukan kewangan tidak kukuh, sukar untuk golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri. 

“Tetapi keistimewaan projek ini, kami berikan komitmen tinggi untuk membina 100 peratus rumah mampu milik yang mengandungi 800 unit rumah terdiri dari tiga jenis iaitu 165 unit jenis A berharga RM80,000, jenis B sebanyak 120 unit berharga RM250,000 dan 520 unit jenis C berharga RM360,000,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN