Lima sekeluarga disemadi satu liang lahad - Utusan Malaysia

Lima sekeluarga disemadi satu liang lahad

kemalangan
Lima jenazah sekeluarga yang terbunuh dalam kemalangan di Lebuh Raya Timur Barat Gerik-Jeli tiba di Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Butterworth, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang anak tidak menyangka perbualan menerusi panggilan video bersama ibunya dan empat ahli keluarga lain adalah yang terakhir sebelum menerima berita kesemua mereka terbunuh dalam kemalangan berhampiran Hentian Titiwangsa di Lebuh Raya Timur Barat Gerik-Jeli kelmarin.

Siti Fatimah Mohd. Rodhi, 27, berkata, dia menghubungi telefon ibunya, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, pukul 12 tengah hari untuk bertanya perjalanan mereka pulang ke Sungai Petani dari Kota Bharu,Kelantan.

Turut bersama dalam kereta Perodua Alza tersebut ialah ba­panya, Mohd. Rodhi Othman, 64, kakaknya, Siti Aishah, 32, abang iparnya, Ahmad Khomaini Abu, 32, serta anak saudaranya, Zara Hana Ahmad Khomaini, 5.

Menurut Fatimah, ketika perbualan tersebut ibunya memaklumkan yang semua urusan di Kota Bharu selesai.

Bagaimanapun, pada kira-kira pukul 4 petang iaitu empat jam selepas panggilan video itu, katanya, dia menerima panggilan daripada individu tidak dikenali memaklumkan ahli keluarganya terlibat dalam kemalangan.

“Pemanggil tersebut turut memberitahu bahawa semua ahli keluarganya tidak dapat diselamatkan,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.

Kata Siti Fatimah, kelima-limanya ahli keluarganya berada di Kelantan sejak Jumaat lalu untuk menghantar kakaknya, Siti Khadijah yang mengikuti pengajian pondok agama di sana.

“Saya memang sangat terkejut sangat sebab baru sahaja bercakap dengan ibu dan ahli keluarga lain dan tiba-tiba mereka pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Dikebumikan

Sementara itu, jenazah lima beranak berkenaan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Hj. Abd Rashid, Sungai Dua di Butterworth semalam.

Terdahulu jenazah tiba di Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, pada pukul 2.56 tengah hari dengan dibawa van jenazah dari Hospital Gerik.

Waris terdekat diberi peluang menatap wajah kelima-lima jenazah sebelum disolatkan selepas jemaah selesai solat Zuhur.

Seramai 500 ahli keluarga dan penduduk setempat mengiringi pengebumian kelima-lima mangsa.
Siasatan polis memaklumkan, nahas berpunca daripada pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Gerik ke Jeli, Kelantan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

Kenderaan itu kemudian melanggar Perodua Alza dinaiki lima sekeluarga itu dan menyebabkan mangsa-mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN