41 masjid berstatus masjid pengurusan di Selangor - Utusan Malaysia

41 masjid berstatus masjid pengurusan di Selangor

MOHD. Zawawi Ahmad Mughni menjawab isu masjid pengurusan dalam sidang DUN di Bangunan Annex, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor hari ini. - FOTO TV SELANGOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Terdapat 41 buah masjid yang diletakkan status sebagai masjid pengurusan iaitu di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) termasuk Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, sembilan masjid daerah, lima masjid diraja dan 26 masjid naik taraf.

Masjid yang berstatus sebagai masjid pengurusan adalah tertakluk kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang mana pelaksanaannya juga tertakluk dengan pengwujudan atau penambahan waran perjawatan tetap daripada MAIS atau kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, sebarang keputusan dalam menetapkan sesuatu masjid sebagai masjid pengurusan adalah di bawah bidang kuasa jawatankuasa tadbir urus masjid dan surau Selangor.

“Jawatankuasa itu diwujudkan mewakili MAIS bagi menunaikan tanggungjawab dan kewajiban dan perjalanan kuasa-kuasa MAIS mengikut Seksyen 27, enakmen tersebut.

“Pandangan daripada anak kariah boleh diajukan kepada pejabat agama, namun ia bukanlah sebagai kata putus terhadap status masjid,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi; ADUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar dan ADUN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri mengenai pengambilalihan masjid pengurusan berdasarkan dana yang dimiliki oleh masjid itu sendiri.

Bagaimanapun Mohd. Zawawi yang juga ADUN Sungai Kandis menempelak persepsi sedemikian dan menjelaskan peranan MAIS sebagai pendamai untuk mengatasi konflik antara anak kariah dengan pengurusan masjid.

“Masjid ini bila tak ada duit orang tak mahu, tetapi bila banyak itu yang berebut. Jadi, bila berebut dan bertelingkah, akhirnya pejabat agama Islam terpaksa campur tangan untuk mendamai dan meredakan keadaan kerana timbul fitnah atau cerita tak sedap yang tak sepatutnya.

“Tetapi, bukan semua, ia berlaku case by case, maknanya kita akan terima, teliti dan siasat semua aduan untuk mengambil keputusan sama ada masjid itu akan dijadikan masjid pengurusan ataupun ditadbir anak kariah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya