BUTTERWORTH: Polis merampas sebanyak 300 kilogram dadah jenis ganja bernilai RM750,000 dan menahan sepasang kekasih dalam serbuan di Bukit Mertajam, di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, operasi tersebut dilakukan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman; JSN Perlis dan JSJN Pulau Pinang.
“Teman lelaki warga tempatan dan kekasihnya warga Indonesia yang masing-masing berusia 41 dan 37 tahun itu ditahan di sebuah rumah sewa di Taman Impian, pukul 9 malam.
“Hasil serbuan kita menemukan 12 kotak polisterin yang setiap satunya berisi 24 ketulan mampat ganja yang disembunyikan di sekitar rumah terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), di sini hari ini.
Beliau berkata, ganja tersebut diseludup masuk dari Thailand melalui jalan laut sebelum menggunakan jalan darat ke Pulau Pinang.
Katanya, rumah terbabit dijadikan transit sebelum kesemua ganja itu akan dihantar untuk pasaran Lembah Klang.
“Kedua-dua suspek adalah ahli sindiket dan kita masih siasat berapa lama sindiket ini telah beroperasi. Ujian saringan air kencing kedua-dua suspek adalah negatif dan masing-masing tidak memiliki rekod kesalahan lampau.
“Semakan mendapati pasangan terbabit tiada surat nikah walaupun tinggal bersama, malah suspek wanita juga tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri,” katanya.
Surina berkata, pasangan terbabit direman selama tujuh hari sehingga 23 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Dari Januari sehingga Jun lepas, polis Perlis merampas 364 kilogram ganja yang diseludup masuk melalui sempadan negeri membabitkan 16 tangkapan,” katanya. – UTUSAN