3 premis makanan diarah tutup kerana abai aspek kebersihan - Utusan Malaysia

3 premis makanan diarah tutup kerana abai aspek kebersihan

SEBANYAK tiga buah premis makanan di Barat Daya, Pulau Pinang diarah tutup operasi oleh MBPP selepas dikesan mengabaikan aspek kebersihan dalam operasi yang dijalankan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan tiga premis makanan di kawasan Barat Daya di sini ditutup operasi berkuat kuasa semalam selepas didapati dengan sengaja mengabaikan aspek kebersihan asas.

Datuk Bandar MBPP, Datuk Ar. Yew Tung Seang berkata, Pegawai Penguatkuasaan Pelesenan MBPP telah mengadakan pemeriksaan mengejut semalam dan mendapati tiga daripada empat buah premis makanan yang diperiksa mengabaikan aspek kebersihan.

Katanya, dua premis diarahkan tutup kerana kewujudan najis tikus manakala satu lagi kerana memperoleh markah penggredan bawah 50 peratus.

”Antara kesalahan itu adalah terdapat najis tikus di premis, meletak makanan mentah kurang 20 sentimeter dari lantai, mengalirkan sisa basuhan kotor dan minyak ke dalam parit awam serta perangkap minyak tidak diselenggara dengan baik. Situasi ini memberikan impresi buruk dan kesan yang negatif terhadap pengendalian masakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Tung Seang, tiga premis itu diarahkan tutup selama 14 hari untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan secara menyeluruh.

Tegas beliau, MBPP akan sentiasa menjalankan operasi pemeriksaan secara rutin selepas pembukaan sektor ekonomi bagi memastikan keselamatan makanan di premis makanan terjaga.

“Semua pengusaha premis makanan dinasihatkan tidak berkompromi dengan aspek kebersihan dan sentiasa menyelenggara premis dengan sempurna supaya kualiti penyediaan makanan terjamin,” katanya.

Tambahnya, lapan kompaun dikeluarkan dalam operasi berkenan iaitu dua kerana kesalahan mengendalikan premis makanan tanpa lesen dan satu kerana meletak makanan mentah kurang daripada 20 sentimeter dari paras lantai.

“Pihak penguat kuasa juga mengeluarkan tiga kompaun untuk kesalahan tidak menjalani pemeriksaan doktor. Selain itu, satu kompaun masing-masing untuk kesalahan mengalirkan sisa basuhan kotor atau minyak ke dalam parit awam dan tidak mempamerkan lesen pada tempat yang mudah dilihat di premis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.