3 parti Melayu terbesar mampu menang PRU15 cuma satu hipotesis

Tiga parti Melayu terbesar mampu menang PRU15 cuma satu hipotesis

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gabungan tiga parti Melayu terbesar iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan UMNO mampu menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sepertimana yang disifatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, cuma dilihat satu hipotesis. 

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini berikutan pihaknya pernah menghulurkan ‘tali silaturrahim’ kepada kedua-dua parti terbabit, namun tidak menjadi seperti yang diharapkan.

“Kita pernah menawarkan olive branch kepada kedua-duanya. Tetapi tangan kita bukan sahaja digigit, tetapi telah dilakukan sesuatu sehingga hampir patah tangan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Puteri Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

MUHYIDDIN YASSIN

Muhyiddin sebelum ini dilapor menyifatkan bahawa gabungan tiga parti Melayu terbesar itu mampu menang PRU15 dengan selesa jika penubuhan Muafakat Nasional (MN) menjadi realiti.

Bagaimanapun, Muhyiddin mendakwa, MN ketika ini kabur kerana penolakan UMNO meskipun jemputan menyertai gabungan berkenaan dibuat Ahmad Zahid dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. 

Ahmad Zahid berkata, UMNO kini telah membina kekuatannya secara sendirian selepas kemelut terbabit. 

Dalam pada itu, Presiden UMNO itu menegaskan, politik adalah sesuatu yang sangat dinamik, maka sebarang usaha mengenai gabungan itu lebih baik diterjemahkan semasa pasca PRU15. 

“Kalau kita lakukan sekarang, masing-masing mengatakan diri mereka kuat walaupun sebenarnya kita tak tahu tenaga batin politiknya telah berkurangan. 

“UMNO serta Barisan Nasional (BN) akan membuktikan dalam PRU akan datang dan selepas itu kita cari formula sebagaimana (gabungan dengan parti lain),” ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya pada konvensyen itu, Ahmad Zahid berkata, formula baharu untuk mewujudkan kestabilan politik selepas PRU15 itu bagaimanapun perlu melupakan perbezaan kaum, agama dan budaya. 

“Demi negara, kita mesti buta warna politik bagi menentukan kerjasama dijalin semula untuk keamanan dan kepentingan rakyat,” katanya. 

Beliau turut menekankan kepentingan untuk BN setiap negeri dan sayapnya untuk mengadakan konvensyen sebagai persiapan menghadapi PRU15. 

“Tidak perlu mengikut tradisi lama. Jika dulu, selepas bubar Parlimen baru hendak membuat persiapan dan sibuk mengadakan perjumpaan, namun tidak pada zaman kita ini. Kita sudah bersiap siaga lebih awal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya