25 tahun PTPTN demokrasikan pendidikan negara - Utusan Malaysia

25 tahun PTPTN demokrasikan pendidikan negara

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) diiringi Noraini Ahmad (dua dari kiri) dan Apli Yusoff (kiri) merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANJANG 25 tahun usia penubuhannya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah memainkan peranan penting dalam menjayakan pendemokrasian pendidikan negara.

Kewujudan agensi ini membolehkan lebih ramai pelajar mendapat akses kepada pendidikan tinggi bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang amat menekankan pelaksanaan program dan inisiatif ke arah kesejahteraan masyarakat Malaysia.

Buktinya, sehingga kini seramai 3.67 juta Keluarga Malaysia telah dibantu bagi meneruskan pengajian masing-masing dengan keseluruhan pinjaman berjumlah RM66.87 bilion.

Lebih menarik, apabila kalangan penerima manfaat pembiayaan pinjaman itu turut berjaya berkhidmat dan diiktiraf kepakaran mereka dalam pelbagai sektor kerajaan dan swasta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai sebuah agensi tabung pendidikan tinggi utama negara, PTPTN terus komited dalam memikul mandatnya memastikan tiada Keluarga Malaysia yang tercicir untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, kemudahan ditawarkan agensi berkenaan dapat menaikkan taraf kehidupan peminjam sekali gus menjadi aset dan modal insan penting kepada negara.

“PTPTN telah menyediakan peruntukan lebih RM3 bilion setahun bagi membiayai pinjaman pendidikan kepada purata lebih 180,000 pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

“Saya difahamkan, sehingga akhir bulan lalu, lebih 2 juta atau 82.04 peratus peminjam telah membayar balik pinjaman dengan jumlah kutipan sebanyak RM 17.8 bilion,” katanya dalam Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) di sini, kelmarin.

Yang hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin; Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Ismail Sabri berkata, kewujudan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sejak 2004 berjaya mengurangkan kebergantungan Keluarga Malaysia kepada pinjaman semata-mata, bahkan turut mencatat prestasi memberangsangkan dengan keseluruhan deposit Simpan SSPN berjumlah RM12.5 bilion yang melibatkan 5.4 juta akaun, sehingga akhir bulan lepas.

Di samping itu, beliau turut memuji inisiatif PTPTN melancarkan Kelab Simpanan Pendidikan bagi meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan kanak-kanak sekali gus memupuk kesedaran mengenai kepentingan menabung demi masa depan.

Katanya, sehingga kini sebanyak 13 sekolah di lima negeri mahu menjadikan kelab itu sebagai antara kelab atau persatuan dalam modul kokurikulum sekolah.

Dalam perkembangan sama, Noraini berkata, walaupun kerajaan melaksanakan penangguhan bayaran balik PTPTN ekoran pandemik Covid-19, namun kira-kira RM1.35 bilion berjaya dikutip balik.

Malah, katanya, prestasi bayaran balik itu terus meningkat kepada RM2.36 bilion pada 2021 manakala setakat enam bulan pertama tahun ini, jumlah kutipan dianggarkan sebanyak RM1.70 bilion, iaitu kira-kira 61 peratus daripada RM3 bilion yang disasarkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN