PETALING JAYA: Sebanyak 19 kes kematian dalam tahanan direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh Januari hingga 15 Julai lalu.
Daripada jumlah yang direkodkan, sebanyak sembilan kes kematian adalah di dalam lokap diikuti kematian di hospital (lapan kes) dan kes kematian dalam perjalanan ke hospital (dua kes).
Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata kesemua kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahahan (USJKT)Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sejak penubuhannya pada 1 Januari lalu.
“Daripada 19 kes yang disiasat, satu kes telah dituduh di mahkamah pada 21 Januari lalu melibatkan empat orang suspek.
“Kesemua suspek dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun keseksaan manakala satu kes telah dirujuk kepada Koroner dan 17 kes masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, PDRM mengadakan satu mesyuarat bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) pada 14 Julai lalu bagi membincangkan perkembangan siasatan kes kematian dalam tahanan polis.
“Lawatan bersama kedua-dua agensi berkenaan telah dilaksanakan di lokap berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor bagi memberikan gambaran jelas cara pengoperasian lokap berpusat PDRM.
“Lawatan turut disertai wakil sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan iaitu Centhr (Centre For Human Rights Research and Advocacy).
“Kolaborasi PDRM bersama agensi-agensi lain merupakan sebahagian usaha PDRM ke arah menangani isu-isu kematian dalam tahanan dan jagaan polis dan pada masa sama, menunjukkan keterbukaan serta ketelusan pdrm dalam pengurusan tahanan,” katanya. – UTUSAN