15 pekerja KHSB ditamatkan perkhidmatan

15 pekerja KHSB ditamatkan perkhidmatan

MOHD. Nuhairi Muhammad (tiga dari kiri) bersama beberapa bekas pekerja anak syarikat Ketengah Holdings Sdn. Bhd. yang ditamatkan perkhidmatan bergambar di hadapan Jabatan Perhubungan Perusahaan Terengganu di Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 15 pekerja anak syarikat Ketengah Holdings Sdn. Bhd. (KHSB) menuntut penjelasan daripada pengurusan tertinggi syarikat punca mereka ditamatkan perkhidmatan lebih awal daripada tempoh sepatutnya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Ketengah Niaga & Tours Sdn. Bhd, Mohd. Nuhairi Muhammad berkata, pemecatan itu dibuat tanpa alasan yang kukuh selain diberi notis mengejut sehingga menjatuhkan maruah mereka.

Katanya, tindakan berkenaan tidak wajar dilakukan oleh sebuah agensi kerajaan yang diamanahkan untuk menjaga rakyat namun sebaliknya pula berlaku apabila mereka kini hilang mata pencarian secara tiba-tiba.

“Penamatan kontrak ini mengundang persepsi buruk kepada bakal majikan seolah-olah kami melakukan kesalahan jenayah sekali gus meletakkan kami dalam keadaan tertekan.

“Ada antara kami ditamatkan perkhidmatan setahun sebelum kontrak mereka berakhir, selain tidak dinyatakan jumlah pampasan yang akan diterima. Seolah-olah tiada nilai kemanusiaan,” katanya selepas menyerahkan surat aduan ditamatkan perkhidmatan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Terengganu di Wisma Persekutuan di sini, hari ini.

Katanya,  pekerja terlibat menerima notis tersebut pada 18 Julai lalu dan diarahkan untuk tidak datang bekerja pada 19 Julai lepas.

Sehubungan itu, tambahnya, pekerja terbabit meminta pegawai berkenaan memberi justifikasi punca mereka diberhentikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN