KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ampang, Datuk Seri Zuraida Kamaruddin akur sekiranya diminta melepaskan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Zuraida berkata, beliau ketika ini berada dalam mod standby bagi menantikan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kedudukan jawatannya itu.
“Buat ketika ini saya belum dapat kata putus. Saya tengah standby untuk bertemu dengan Perdana Menteri.
“Kita belum putuskan masa pertemuan itu lagi. Beliau katakan kita akan bertemu minggu ini, namun ia berkemungkinan sepanjang minggu ini juga,” katanya selepas melancarkan program Pembiayaan Global Bagi Inovasi Industri Getah di sini hari ini.
Zuraida berkata, beliau akan menghadiri mesyuarat Kabinet esok kerana masih lagi memegang jawatan menteri. – UTUSAN