BAGAN SERAI: Seorang wanita warga emas orang kurang upaya (OKU) dengan masalah penglihatan memerlukan tempat perlindungan di rumah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana waris atau ahli keluarganya gagal dikesan.
Warga emas itu, Saadiah Remli, 66, yang mengalami masalah penglihatan dan tidak dapat menguruskan diri sendiri, kini diletakkan sementara di sebuah pusat penjagaan swasta di Kulim, Kedah.
Seorang penduduk yang prihatin terhadap nasib wanita itu, Siti Norasciken Mohamad Nordin, 35, berkata, dia mengenali Saadiah dua tahun lalu melalui arwah ibunya.
Menurutnya, wanita OKU itu merupakan rakan kepada kenalan arwah ibunya yang tinggal di Taiping.
“Kenalan emak itu telah meminta emak menjagakan Saadiah dan atas dasar simpati, emak sanggup untuk menjaganya.
“Selepas emak meninggal dunia tahun lalu, kehidupan Saadiah terabai dan tiada siapa yang menguruskannya sedangkan kami adik-beradik tidak tahu latar belakang Saadiah.
“Emak pernah beritahu kenalan emak yang menghantar Saadiah tiga tahun lalu juga tiada pertalian persaudaraan dengan wanita ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di Alor Pongsu dekat sini semalam.
Jelasnya, kerana simpati nasib wanita itu, dia memohon JKM untuk menghantar Saadiah ke rumah kebajikan.
Katanya, namun dia tidak pasti sama ada permohonannya itu diterima atau sebaliknya.
“Saya tidak mampu untuk menjaganya kerana saya juga ada keluarga sendiri. Kami memohon JKM dapat menempatkannya di pusat jagaan JKM,” katanya.
Siti Norasciken berharap waris atau sesiapa yang mengenali waris wanita itu menghubunginya menerusi nombor telefon 01120805691. – UTUSAN