Wanita hamil cedera diserang anjing jiran

Wanita hamil cedera diserang anjing jiran

MOHD. ZAID HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gara-gara mahu menyelamatkan anak-anaknya daripada diserang anjing, seorang wanita hamil cedera ketika dalam kejadian di tempat letak kenderaan sebuah kondominium di Batu 9 Cheras, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.43 petang itu mangsa berumur 35 tahun itu disahkan mengalami kecederaan akibat diserang anjing.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, siasatan mendapati anjing berkenaan milik dan peliharaan seorang wanita warga tempatan yang juga jiran mangsa.

Kata beliau, pemilik anjing berkenaan tidak mempunyai lesen yang sah untuk memelihara anjing tersebut. 

“Kejadian dikatakan berpunca daripada pemilik anjing tersebut telah cuai terlepas tali pengikat anjing menyebabkan anjing bertindak luar kawalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut, kata beliau, mangsa telah menerima rawatan di Hospital Kajang.

“Mangsa juga perlu menerima rawatan susulan di Animal Bite Clinic, Hospital Serdang memandangkan mangsa sedang hamil.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Tambah beliau, orang ramai yang ingin memelihara anjing di mana-mana premis termasuk rumah persendirian perlu mendapatkan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan.

“Selain itu, pemilik harus memastikan haiwan peliharaan dikawal rapi supaya perkara seperti kejadian ini dapat dielakkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN