PETALING JAYA: UMNO menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pindaan perlembagaan parti itu yang sudah dipersetujui oleh semua perwakilannya sebelum ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini berikutan kelulusan boleh diambil terhadap pindaan rakan komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA bagi melanjutkan pemilihan parti sama seperti yang dilakukan UMNO.
“Mudah-mudahan apa yang diminta oleh UMNO mengenai pemilihan parti tercapai malah parti MCA yang diluluskan oleh RoS telah meminda perlembagannya tentang melanjutkan pemilihan parti selewatnya enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) baru diadakan pemilihan.
“Kalau dapat diluluskan maka pemilihan akan diadakan setiap kali selepas pilihan raya. Kalau diadakan pemilihan UMNO sebelum pilihan raya maka seluruh ‘pokok’ itu akan tumbang dan lingkup UMNO serta kembali kepada 22 bulan yang susah sebagaimana selepas PRU14 lalu,” katanya seperti dilapor UMNO Online.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada permukiman Penerangan UMNO Malaysia semalam.
15 Mei lepas, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas secara rasminya meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.
Usul itu diluluskan sebulat suara 2,586 perwakilan UMNO dari 191 bahagian di seluruh negara yang hadir di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC). – UTUSAN