KULIM: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik di 17 premis yang disyaki melakukan kegiatan judi dalam talian dalam operasi khas bersama Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, tindakan pemotongan diambil setelah kesemua premis itu diserbu dan dikenakan tindakan undang-undang kerana menjalankan aktiviti perjudian dalam talian sejak Januari hingga Mei lalu.
Katanya, peruntukan pemotongan bekalan elektrik terbabit dilakukan atas kuasa yang diberi kepada polis dan syarikat pembekal tenaga elektrik di bawah Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).
“Tindakan ini bagi mengelak kegiatan judi dalam talian yang beroperasi di situ daripada kembali aktif. Kerja-kerja pemotongan bekalan elektrik dilakukan dengan lancar dan barang rampasan seperti meter dan fius dibawa balik untuk disimpan di Pejabat TNB Daerah Kulim,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN