Tipulah tak terasa hati-Jasmin Hamid

Tipulah tak terasa hati-Jasmin Hamid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon versatil, Jasmin Hamid, memaklumkan dia telah memaafkan segelintir warganet yang menyindir dan melayangkan komen jahat kepada suaminya, Nazmir Abdul Rahman ketika pelakon itu berada di hospital sebelum ini.

Menurut Jasmin, dia mengaku walaupun terasa hati namun percaya ada hikmah disebalik kejadian yang berlaku.

“Tipulah tidak terasa hati, tetapi saya sudah memaafkan. Kerana sebelum tidur, saya sudah memaafkan semua orang kerana bimbang tidak bangun lagi.

“Walau perkara berkenaan kadang kala menyakitkan kita, tetapi apa kita boleh buat. Hanya Allah yang dapat menutup mulut mereka. Jadi, saya maafkan sahajalah.

“Sebenarnya kejadian itu Allah hendak menunjukkan manusia itu macam mana. Sepatutnya sewaktu orang sakit atau dalam kesusahan, kita mendoakan sahaja kebaikan walau tidak suka sekalipun orang itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, pelakon drama popular 7 Hari Mencintaiku 3 itu ada berkongsi perkembangan kesihatannya yang terkini, selepas lebih seminggu dibenarkan pulang ke rumah.

Katanya, dia lebih berhati-hati dalam melakukan setiap perkara kerana menyedari dirinya tidak sihat sepenuhnya dan masih dalam rawatan.

“Setakat ini, saya masih ada rawatan dan pemeriksaan susulan dua kali untuk bulan ini bagi memantau perkembangan kesihatan saya selepas keluar dari hospital.

“Alhamdulillah. Tetapi tidaklah sihat sepenuhnya kerana kita tahu diri kita sekarang ada penyakit. Kini, saya lebih berjaga-jaga dan tidak boleh melakukan perkara sesuka hati.

“Kerana kita tahu keadaan jantung tidak begitu baik. Suami saya pun sebolehnya ingin mengelak saya daripada mengalami stres,” ujarnya.

Pada masa sama, Jasmin turut memaklumkan bacaan kolestrol tinggi dan tekanan darah rendah adalah punca dirinya mengalami serangan jantung.

“Saya nak perbetulkan di sini, penyakit ini bukan berpunca kerana saya stres bekerja. Bukan. Saya sayangkan kerja saya. Namun, tekanan darah saya pada masa itu sangat rendah. Jadi doktor tidak benarkan saya pulang ke rumah dan tahan saya di dalam wad.

“Selain itu, bacaan kolestrol saya juga tinggi. Apabila bacaan itu tinggi dan tekanan darah saya pula rendah, darah hendak pam sampai ke jantung itu tidak cukup. Sebelum ini pun saya tidak tahu kolestrol saya ini tinggi sebab tidak pernah buat pemeriksaan.

“Puncanya juga kadang kala kita ingat diri kita ini sihat, jadi saya pun tidak melakukan medical check up.
Sekarang ini, bila sudah jadi seperti ini, saya ambil iktibar,” tuturnya lagi.

Jasmin turut berkesempatan meluahkan penghargaan buat semua pihak yang tidak lekang mendoakan kesejahteraannya.

Baru-baru ini, industri hiburan tempatan gempar apabila aktres tersebut dimasukkan ke wad CCU di Hospital Sungai Buloh selepas mengalami serangan jantung.

Selang beberapa hari, suaminya mendedahkan ada beberapa komen di laman Facebook dan Instagram ‘mengejek’ dirinya sebagai punca dan penyebab Jasmin diserang penyakit berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN