lesen dibatal

Tipu pakej haji, umrah: Lesen agensi pelancongan boleh dibatal

NANCY Shukri menyampaikan sijil kepada penyanyi, Datuk Syafinaz Selamat dalam Majlis Konvokesyen Badan Peneraju Industri Seni Budaya 2022 di Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Agensi pelancongan haji dan umrah yang dikesan menawarkan pakej berunsur penipuan akan dikenakan tindakan pembatalan lesen atau dihadapkan ke mahkamah.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tindakan sedemikian boleh diambil berdasarkan terma dan syarat permohonan lesen oleh syarikat tersebut.

Kita boleh nyahsenarai syarikat mereka dan mereka tidak layak untuk memohon lagi (dan) lesen mereka dibatalkan. Kita juga boleh sampai ke mahkamah mengikut situasi kalau keterlaluan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Badan Peneraju Seni Budaya 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berkaitan beberapa agensi pelancongan haji dan umrah dikesan menawarkan ratusan tempat untuk khidmat badal haji dengan pelbagai pakej dan bayaran bermula serendah RM1,700 hingga RM3,000 seorang.

Bagaimanapun jelas Nancy, setakat ini tiada sebarang laporan diterima kementerian berhubung kes penipuan tawaran pakej membabitkan agensi pelancongan haji dan umrah. 

“Kita pantau tapi setakat ini belum lagi (terima laporan). Memang dulu-dulu selalu kita dengar (mengenai kes penipuan). 

“Apabila mereka memohon untuk lesen ada terma dan syarat (jadi) kita boleh ambil tindakan di bawah terma-terma yang ada,” ujarnya.

Sementara itu menurut Nancy, konvokesyen yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada penggiat seni budaya yang berkemahiran, berpengetahuan dan berkualiti.

Dalam majlis tersebut, seramai 333 graduan seni budaya meliputi bidang tarian, teater, muzik dan persembahan pentas menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang disampaikan oleh Nancy. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN