Tiga pemandu e-hailing dituduh seludup PATI

Tiga pemandu e-hailing dituduh seludup PATI

TIGA pemandu e-hailing yang  dituduh menyeludup seramai 16 PAT dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - FOTO/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tiga pemandu e-hailing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini hari ini atas tuduhan menyeludup seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) pada Mei lalu.

Tertuduh, Choy Chee Kiow, 57, Wong Kok Siong, 48, dan Lee Seng Ping, 46, mengangguk faham sebaik pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Bagaimanapun tiada pengakuan bersalah direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh yang berasal daripada Negeri Sembilan dan Selangor itu.

Mengikut pertuduhan, tiga tertuduh itu didakwa menyeludup seramai 16 orang PATI warganegara Myanmar berumur 16 sehingga 35 tahun tanpa tiada dokumen pengenalan diri yang sah di dalam tiga buah kenderaan.

Kesalahan itu dikesan ketika ketiga-tiga tertuduh melalui sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer (KM) 34.5 Jalan Kuala Terengganu-Kelantan dekat Kampung Batu Rakit, 22 Mei lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amir Abu Bakar Abdullah.

Mahkamah bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN