fbpx

Tiada laporan polis babit cubaan culik anak pelakon

Keratan Utusan Online sebelum ini.

PETALING JAYA: Tiada sebarang laporan polis dibuat pelakon dan penyanyi, Lufya Omar selepas mendakwa dirinya diserang seorang individu ketika cuba menyelamatkan puterinya, Laana Haura daripada diculik di sebuah taman permainan di sekitar Kota Damansara, dekat sini, kelmarin.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, setakat ini tiada laporan diterima pihaknya.

Bagaimanapun, kata beliau, mangsa diminta tampil membuat laporan mengenai dakwaan berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Kita menasihatkan mangsa supaya tampil membuat laporan untuk siasatan lanjut,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, menerusi entri Instagram, pelakon itu berkongsi keadaan wajahnya terkini yang dilihat mempunyai kesan kecederaan akibat diserang penculik tersebut.

Katanya, individu itu memukulnya menggunakan batang kayu sehingga menyebabkan kecederaan pada wajah dan badannya.

Kejadian itu didakwa berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika dia dan anaknya berada di taman permainan Kota Damansara.

Lufya berkata, setiap wanita terutama bergelar ibu perlu mempunyai ilmu asas mempertahan diri agar dapat melindungi diri dan anak jika kejadian seperti ini berlaku.

Dalam pada itu, Lufya juga menekankan orang ramai harus sentiasa berwaspada selain memohon agar mendoakan kesembuhan dirinya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!