Terima kasih Utusan Malaysia, penantian 50 tahun berakhir

Terima kasih Utusan Malaysia, penantian 50 tahun berakhir

Amir Hassan menunjukkan keratan berita terbitan Utusan Malaysia dua hari lalu yang membawa kepada penemuan semula sahabatnya yang telah terpisah sejak 50 tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT :  “Alhamdulilah, akhirnya insan yang lama saya cari menghubungi saya pagi semalam. Terima kasih Utusan Malaysia  yang menyiarkan pencarian saya dan juga media lain.”

Demikian kata Amir Hassan yang memaklumkan wanita berusia 60-an yang dicarinya menghubunginya pada pukul 9 pagi semalam dan mengakui dia adalah insan yang dijejaki Amir sejak 50 tahun lalu.

“Dia menceritakan semula memori sewaktu kami berkenalan dulu. Jadi, memang betullah dia sahabat wanita yang saya cari,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tasik Alai, Segamat.

Dua hari lalu, Utusan Malaysia melaporkan hasrat seorang bekas tentera untuk bertemu dengan sahabat lama yang terputus hubungan untuk memberikan hadiah sebagai tanda perkenalan seperti dijanjikan 50 tahun lalu.

Hasil sebaran informasi mengenai pencarian warga emas tersebut, wanita yang di cari, Siti Aminah telah menghubungi Amir pagi semalam.

Wanita berkenaan yang kini berstatus ibu tunggal juga menyatakan memiliki tiga anak selain pasangan hidupnya sudah meninggal dunia.

“Rupanya saya tersilap kerana namanya bukan Siti Fatimah seperti saya nyatakan kelmarin tetapi Siti Aminah dan kini dia menetap di Felda Bukit Batu, Kulai.

“Perbualan antara kami selama setengah jam pagi semalam terhenti seketika apabila dia tidak dapat menahan sebak mengenang pelbagai kenangan manis.

“Dia melihat gambar saya yang disiarkan di Utusan Malaysia dan beberapa media lain dan masih ingat iras rupa saya ketika muda.

“Dia juga menceritakan kenangan lama ketika bertemu di stesen kereta api dan suaranya juga tidak berubah seperti dulu,” ujar Amir

Amir melahirkan rasa syukur kerana perbualannya dengan Siti Aminah tidak dihalang oleh kedua belah keluarga, malah masing-masing menghormati nilai persahabatan mereka.

Malah dia bersama ahli keluarga juga bercadang untuk menziarahi Siti Aminah pada Isnin depan di Kulai.

“Saya mahupun ahli keluarga merancang untuk bertemu dengan Siti Aminah yang mungkin kini sudah berubah rupanya kerana masing-masing sudah dimamah usia.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada warganet yang juga memberi sokongan dan mendoakan usaha saya mencari Siti Aminah berjaya,” tambahnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN