Tengku Permaisuri Selangor mahu UiTM jadi terkemuka di dunia

Tengku Permaisuri Selangor mahu UiTM jadi terkemuka di dunia

TENGKU Permaisuri Norashikin Abdul Rahman bertitah selepas menyempurnakan Sidang Ke-2 Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor yang menyaksikan seramai 1,124 graduan menerima skrol masing-masing di Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin Abdul Rahman berhasrat memainkan peranannya sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk mengangkat martabat universiti terbesar negara itu menjadi terkemuka di dunia.

Baginda juga turut menzahirkan rasa sukacita terhadap perkembangan dan pencapaian UiTM seperti dimaklumkan Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor mengenai kedudukan ke-105 universiti itu dalam QS Asia University Rankings 2022 dan 651-701 dalam QS World University Rankings.

Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, di bawah pimpinan Roziah, UiTM mampu mencapai hasrat dan keinginan menjadi Globally Renowned University pada tahun 2025.

“Sudah terbukti, pada tahun 2022 ini, walaupun dalam suasana dunia dilanda pandemik Covid-19. UiTM berada pada landasan yang betul dan tepat untuk menjadi universiti terkemuka dunia. 

“Saya akan bersama-sama UiTM untuk memberi komitmen dan kerjasama agar cita-cita ini dapat dicapai pada tahun 2025 nanti,” titah baginda selepas menyempurnakan penyampaian ijazah doktor falsafah, sarjana dan sarjana muda dalam Sidang Ke-2 Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-93 hari ini.

Titah baginda lagi,  universiti-universiti hendaklah bekerjasama dalam pelbagai aspek, seperti pengurusan, penyelidikan dan akademik, untuk mengoptimumkan keupayaan masing-masing.

Di samping bersaing, universiti-universiti ini hendaklah bekerjasama dalam pelbagai aspek, seperti pengurusan, penyelidikan dan akademik, untuk mengoptimumkan keupayaan masing-masing.

Terdahulu, Tengku Permaisuri Norashikin dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor oleh Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah yang merupakan Canselor UiTM dalam pembukaan istiadat konvokesyen itu semalam.

Pelantikan baginda adalah kesinambungan peranan Kerabat Diraja Selangor dalam UiTM apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini pernah dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor universiti itu pada tahun 2000 hingga 2005.

Malah, sebagai Yang Dipertuan Agong Ke-11, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah iaitu ayahanda kepada Sultan Sharafuddin juga pernah menjadi Canselor UiTM pada 1999 hingga 2001.

Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah lagi, graduan perlu memainkan peranan secara intelek bagi memastikan negara kekal berdaulat dengan cara mengelakkan perpecahan dalam kalangan rakyat.

“Jangan sekali-kali biarkan negara kita ini porak peranda, kacau bilau, dan hilang segala-galanya. Salah satu daripada caranya ialah dengan bersatu padu sesama kita rakyat Malaysia. 

“Jika kita tidak bersatu, kita tidak akan mampu mempertahankan negara kita ini daripada pelbagai bentuk ancaman yang datang daripada pihak yang mahu melihat negara kita ini jatuh dan hancur,” titahnya.

Tambah baginda lagi, ucapan tahniah dizahirkan kepada ibu bapa para graduan dan menyifatkan kejayaan anak-anak adalah kejayaan mereka sebagai pembimbing sejak kecil sehingga berjaya pada hari ini.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya