BAGAN SERAI: Pas Perak membuat tawaran kepada bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bertanding di Parlimen Pasir Salak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) demi aspirasi penyatuan ummah.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, tawaran kepada Tajuddin itu bukan provokasi terhadap UMNO.
Katanya, sebaliknya tawaran itu adalah usaha mendukung penuh aspirasi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam mengajak kepada penyatuan ummah.
“Kita nak mengajak semua parti Melayu untuk bergabung termasuk parti-parti yang tidak ekstrem dalam satu gabungan.
“Dalam kontek kenyataan yang dikeluarkan, Pas mengamalkan demokrasi yang terbuka dan Pas Perak menawarkan kepada Tajuddin dengan sebab kemungkinan beliau tidak dicalonkan untuk bertanding pada PRU15.
“Kita beranggapan beliau masih lagi berminat dalam politik dan jika beliau bertanding di Parlimen itu (Pasir Salak), ini akan memberi saingan yang sengit,” katanya ketika ditemui pemberita pada program jamuan durian di Kampung Alor Setangguk, di sini semalam.

Razman berkata, Tajuddin mempunyai ketokohan dan pengaruh di kawasan Parlimen Pasir Salak dan Pas sama sekali tidak mencampuri urusan dalaman mana-mana parti.
“Sekiranya beliau (Tajuddin) disingkirkan dan tidak dicalonkan serta mahu bergabung dengan parti lain, maka ia adalah demokrasi,” katanya.
Ditanya sama ada tawaran itu mengecewakan penyokong Pas kawasan Pasir Salak, Razman berkata, pemimpin Pas kawasan Pasir Salak tidak menyanggah kenyataan yang dikeluarkan.
“Orang Pasir Salak lebih mengetahui tentang senario politik di kawasan mereka. Pemimpin Pas Pasir Salak lebih sedia maklum tentang kekuatan pengaruh Tajuddin di sana dan mereka tidak menyanggah sama sekali kenyataan yang telah saya keluarkan baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN










