BAGAN SERAI: Pembekalan air untuk kawasan perindustrian di Taiping dan ternakan ikan arowana perlu dihentikan sementara berikutan penyusutan air di Tasik Bukit Merah di sini.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Datuk Sham Mat Sahat berkata, perkara itu perlu dilakukan untuk memberi keutamaan kepada bekalan air untuk pesawah di daerah ini.
“Kita minta pertimbangan pihak Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) negeri supaya memberi keutamaan kepada langkah membekalkan air untuk pengairan sawah padi dan untuk bekalan air mentah ke loji Gunung Semanggol dan Jalan Baru, Parit Buntar.
“Bekalan air untuk kawasan perindustrian dan penternakan ikan arowana perlu dihentikan sementara sekiranya paras air di Tasik Bukit Merah masih lagi berada pada tahap kritikal,” katanya ketika ditemui pada Karnival Kerjaya dan TVET Daerah Kerian di sini hari ini yang dirasmikan Pengerusi Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri
Menurut beliau, pihaknya telah mengadakan mesyuarat bersama Pengarah IADA Perak, pengurus dan pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) semalam mengenai masalah bekalan air untuk pengairan sawah di kawasan ini.
Katanya, pada mesyuarat itu beliau meminta penjelasan daripada semua pihak terutamanya IADA mengenai masalah bekalan air untuk pengairan sawah padi.
“Kita minta agar IADA mengkaji semula dan memperbetulkan kembali masalah air yang dihadapi oleh pesawah di kompartmen D, E, F, G dan H yang melibatkan kawasan Bagan Serai, Gunung Semanggol dan Selinsing agar bekalan air untuk petak sawah dibekalkan semula,” katanya.
Beliau juga meminta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk membuat pembenihan awan di kawasan tadahan di tasik itu dan mahu perkara itu dilakukan dengan segera.
“Kejadian fenomena alam kita tak boleh nak elak, namun usaha segera untuk menangani masalah ini perlu dilakukan,” katanya. – UTUSAN