Tanah mendap ancam keselamatan penduduk

Tanah mendap ancam keselamatan penduduk

KHAIRI Abdul Rahman menunjukkan kesan tanah mendap di hadapan rumahnya di Taman Selasih, Kulim, Kedah. - UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Kejadian tanah mendap di Taman Selasih dekat sini, sejak November lalu menyebabkan penduduk di situ bimbang keselamatan mereka.

Mereka mendakwa, kesan tanah mendapan itu boleh mengancam keselamatan penduduk yang tinggal berdekatan dan pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut.

Seorang penduduk, Khairi Abdul Rahman, 41, berkata, keadaan itu semakin serius dan tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa tempatan untuk memperbaikinya.

Katanya, pada awalnya, kesan tanah mendap tersebut hanya melibatkan kawasan seluas kira-kira 0.5 meter, namun sekarang semakin luas sehingga 1.5 meter.

“Saya percaya kesan tanah mendap tersebut lebih luas dan membahayakan penduduk sekiranya tiada tindakan segera diambil untuk memperbaiki kawasan tersebut.

“Pihak berkuasa tempatan didapati hanya memasang riben keselamatan dan kon di kawasan terbabit selepas menerima aduan daripada penduduk,” katanya ketika ditemui di Taman Selasih, semalam.

Khairi memberitahu, pada masa ini, dinding longkang dan jalan di hadapan rumahnya terdapat kesan retakan dan bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Kejadian tanah mendap pernah berlaku di kawasan ini pada lapan tahun lalu dengan keluasan kira-kira tiga meter sebelum diperbaiki dan sekarang kejadian yang sama berulang semula,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Roziana Annuar berkata, keluarganya sentiasa berada dalam ketakutan apabila hujan lebat kerana bimbang tanah mendap tersebut berlaku lebih buruk.

“Setiap kali hujan lebat saya meninjau kawasan mendapan itu kerana takut berlaku hakisan baharu yang boleh mendatangkan bahaya.

“Saya berharap kesan mendapan itu dapat diperbaiki segera kerana kami sekeluarga tidak dapat tidur dengan lena sekiranya hujan lebat pada waktu malam,” ujarnya.

Abdul Wahab Ahmad, 55, berkata, pihak berkuasa tempatan perlu memandang serius masalah mendapan di taman perumahan ini.

“Penduduk faham kerja-kerja memperbaiki kesan mendapan itu memerlukan kos yang tinggi, namun keselamatan penduduk juga perlu diberi keutamaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN