Tambahan RM130 juta bantu usahawan kecil - PM - Utusan Malaysia

Tambahan RM130 juta bantu usahawan kecil – PM

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (enam dari kiri) bergambar bersama para penerima anugerah pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan Tahun 2022 di Kuala Lumpur. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM130 juta bagi membantu golongan usahawan kecil di negara ini terus bangkit daripada pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN).

“Saya dimaklumkan penyediaan SPIM sebanyak RM200 juta pada tahun ini telah habis. Justeru, bagi kepentingan para usahawan kecil, kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta.

“Selain itu, tambahan sebanyak RM30 juta turut diluluskan bagi Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) di bawah SME Corporation Malaysia (SME Corp.),” katanya dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022, di sini malam ini.

Dalam majlis itu, Sumisaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd. membawa pulang wang RM100,000 selepas merangkul Anugerah Perdana Menteri diikuti Respack Manufacturing Sdn. Bhd. yang meraih Anugerah Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi manakala Pagkia Barber Shop (Anugerah Khas Usahawan Cekal).

Terdahulu, Ismail Sabri menyeru golongan usahawan memanfaatkan peluang disediakan kerajaan untuk beralih ke arah digitalisasi bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

Katanya, proses peralihan daripada perniagaan konvensional itu perlu disegerakan seiring dengan kepesatan ekonomi digital.

Menurutnya, kerajaan bersedia untuk terus membantu golongan usahawan melalui pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan dengan mengambil kira perkembangan ekonomi semasa.

“Di bawah Bajet 2022, pelbagai inisiatif dirangka untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk peruntukan sebanyak RM40 bilion menerusi Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia.

“Justeru, saya menyeru para usahawan supaya turut mengambil peluang yang disediakan untuk proses peralihan perniagaan konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi,” katanya.

Ismail Sabri berkata, sebagai tulang belakang ekonomi negara, PMKS menyumbang kepada 38.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan 13.5 peratus eksport negara.

Katanya, adalah penting untuk kerajaan terus memastikan sektor perniagaan melibatkan usahawan tempatan kekal berdaya tahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya