Tak bayar gaji, gaji lewat antara aduan tertinggi diterima WFW  - Utusan Malaysia

Tak bayar gaji, gaji lewat antara aduan tertinggi diterima WFW 

AWANG Hashim (dua kiri) menyampaikan sijil kepada graduan pada Majlis Konvokesyen Ke-25 ILJTM di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sebanyak 34 peratus atau 5,928 daripada 17,091 aduan menerusi aplikasi Working For Worker (WFW) yang diterima melibatkan kes gaji  tidak dibayar dan pembayaran lewat.

 Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, daripada aduan tersebut yang direkodkan sehingga semalam, sebanyak 16,562 kes telah diambil tindakan manakala selebihnya dalam proses siasatan dan pengesahan.

 “Sebanyak 18 peratus atau 2,974 kes pula aduan mengenai majikan tidak membenarkan bekerja dari rumah terutama ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

 “Kita juga menerima aduan terdapat 10 peratus atau 1,651 kes kerana potongan upah tidak mengikut undang-undang,” katanya selepas menyampaikan sijil pada Majlis Konvokesyen Ke-25 Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) di sini, hari ini.

 Aplikasi WFW dilancarkan pada 3 Mei tahun lalu sebagai platform kepada 15.7 juta pekerja termasuk warga asing untuk mengemukakan aduan dan permasalahan berkaitan isu buruh.

Mengulas lanjut, Awang berkata, daripada jumlah aduan, sebanyak 1,390 kes atau lapan peratus aduan membabitkan pekerja dibuang kerja tanpa notis.

 “Sebanyak 1,369 kes atau lapan peratus adalah tiada pembayaran kerja lebih masa dan faedah pemberhentian. Bagi aduan ini ada yang kita buka kertas siasatan dan ada yang kita kompaun selain memanggil majikan supaya membayar balik berdasarkan aduan.

 “Jika tidak ada kompromi antara majikan, kita akan ambil tindakan berdasarkan akta-akta di bawah sistem perundangan perburuhan khususnya Akta Pekerjaan 1955,” jelasnya.

 Tambah beliau, bagi taburan aduan keseluruhan mengikut negeri, Selangor mencatatkan aduan tertinggi sebanyak 5,272 kes, diikuti Kuala Lumpur (3,416) dan Johor (2,568).

 Sementara itu, Awang memberitahu pada majlis konvokesyen itu, seramai 802 graduan ILP Jitra dan ILP Kangar, Perlis menerima sijil masing-masing hari ini.

 Katanya, graduan terbabit merupakan lulusan daripada bidang Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, Automotif, Kenderaan Perdagangan Berat, Plastik, Elektrik, Kimpalan dan Penyenggaraan Mekanikal, Mekatronik, Fabrikasi Logam serta Pembuatan (pemesinan).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya