Sumbangan Program Anak Kebanggaan Pahang bernilai RM300 tahun depan - Utusan Malaysia

Sumbangan Program Anak Kebanggaan Pahang bernilai RM300 tahun depan

WAN ROSDY Wan Ismail (kanan) menyampaikan insentif sumbangan RM200 dan barangan keperluan bayi pada majlis pelancaran Program Anak Kebanggaan Pahang 2022 (Pahang Pride Kid 2022) di Taman Bandar, Indera Mahkota di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri bersetuju menaikkan sumbangan Program Anak Kebanggaan Pahang 2023 (Pahang Pride Kid) daripada RM200 tahun ini kepada RM300 tahun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia bagi menggalakkan kadar kelahiran susulan rekod di negeri ini masih menunjukkan nilai yang rendah.

Menurutnya, setakat ini bilangan kelahiran yang direkodkan di negeri ini adalah kira-kira 6,000 bayi.

“Kenaikan sumbangan antara inisiatif kerajaan negeri untuk menggalakkan pertambahan penduduk di negeri ini kerana ketika ini kita hanya ada 1.67 juta penduduk walhal kita negeri yang paling besar tetapi penduduknya sikit.

“Mengikut rekod pada tahun lalu hanya ada 25,000 bayi yang dilahirkan, jadi pada tahun ini kita berharap ada banyak peningkatan. Namun melihat kepada angka yang ada pada saya, kadarnya masih lagi rendah, untuk itu saya mengumumkan supaya pada tahun depan kita akan menambah inisiatif daripada RM200 kepada RM300,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Pahang Pride Kid 2022 di Taman Bandar, Indera Mahkota di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Sehingga April lalu, Pahang mencatatkan 6,676 kelahiran dengan Kuantan merekodkan kelahiran tertinggi iaitu 2,413 manakala Temerloh dengan 680 kelahiran diikuti Pekan dengan 577 kelahiran.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, sumbangan menerusi Pahang Pride Kid diberikan tanpa mengira ibu bapa yang telah melahirkan anak di negeri ini.

“Kita akan berikan kepada semua bayi yang dilahirkan di negeri ini, sebagai contoh jika ibu yang mengandung dari negeri lain datang bercuti atau mempunyai urusan ke Pahang dan tiba-tiba bersalin di sini, maka bayi itu juga layak menerima Bantuan Pahang Pride Kid.

“Kesinambungan daripada itu, kali ini setiap satu kelahiran di Pahang, kita juga akan tanam satu batang pokok sebagai simbolik kelahiran bayi-bayi tersebut. Dengan secara langsung akan menambahkan lagi bilangan pokok-pokok hutan sekali gus mampu menyumbang kepada kelestarian biodiversiti hutan di negeri ini dengan jangkaan lebih 25,000 batang pokok hutan akan ditanam pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN